Friday, 13 December 2013

Binatang betul! Bapa rogol anak kandung

Bapa rogol anak kandung dipenjara 15 tahun, 10 sebatan

KUALA LUMPUR: Seorang ejen pekerja asing Jumaat dipenjara 15 tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini kerana merogol anak perempuannya yang berumur 12 tahun, enam tahun lepas.

Hakim Chan Jit Li menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati lelaki berusia 53 tahun itu bersalah merogol anak perempuannya selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Chan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Mahkamah turut menolak permohonan peguam Mohd Zulfiqri Zakaria, yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu.

Tertuduh, yang berkemeja biru kelihatan tenang sepanjang prosiding itu, yang turut dihadiri anggota keluarganya.

Dia dituduh merogol anak kandungnya yang kini berumur 19 tahun di sebuah rumah di Ampang Jaya di sini antara 2006 hingga Mac 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan tidak kurang 10 sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ummi Aliza Ab Kadir memohon hukuman berat dengan alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius selain mengambil kira faktor kepentingan awam.

"Perbuatan tertuduh yang merogol anak kandungnya sendiri boleh diibaratkan sebagai 'haruan makan anak' kerana dia bukan sahaja merosakkan masa depan anaknya sendiri tetapi hubungan mangsa dengan anggota keluarga yang lain turut renggang disebabkan perkara itu," katanya.

Ummi Aliza berkata mangsa terpaksa menanggung trauma dan kesan yang berpanjangan sepanjang hidupnya kerana tertuduh merogolnya sejak beliau berumur 12 tahun.

Sembilan saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula tahun lepas.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Chan memanggil mangsa untuk memberi pernyataan kesan terhadap mangsa secara tertutup di dalam mahkamah itu, yang mana menurut Ummi Aliza mangsa mengakui kejadian itu menjejaskan emosinya sehingga terpaksa menerima rawatan psikiatri di Hospital Melaka.

Bernama

No comments:

Post a Comment