Thursday, 19 December 2013

Sukan SEA: Malaysia bolot emas acara 3m papan anjal


NAYPYITAW:  Penerjun wanita negara mengekalkan penguasaan dalam acara terjun pada Sukan SEA ke-27 apabila membolot dua tempat teratas dalam acara 3m papan anjal pada hari pertama acara itu di Pusat Akuatik Wunna Theikdi di sini hari ini.

Penerjun veteran Cheong Jun Hoong berjaya mempertahankan pingat emas dengan catatan 327.15 mata manakala rakan sepasukan Ng Yan Yee merangkul perak dengan 323.10 mata.

Pingat gangsa menjadi milik penerjun Indonesia, Indah Eka Purna dengan 240.35 mata.

Jun Hoong yang ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat, tidak menyangka dapat menewaskan Yan Yee pada terjunan terakhir bagi meraih emas memandangkan mereka bersaing sengit pada empat terjunan awal.

"Agak terkejut kerana dapat meraih pingat emas...Saya tidak sangka bahawa terjunan terakhir membolehkan saya memintas Yan Yee.

"Kualiti terjunan antara saya dengan Yan Yee adalah sama cuma mungkin nasib lebih menyebelahi saya pada kali ini," katanya.

Jun Hoong berkata kemenangan berkenaan menjadi motivasi terbaik kepada beliau untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi beberapa kejohanan utama tahun depan.

"Kejayaan ini adalah satu pengalaman berharga bagi saya dan saya berharap dapat mengekalkan kecemerlangan ini untuk acara seterusnya," katanya yang melakukan penampilan kelima dalam temasya dwitahunan ini.

Jun Hoong sebelum ini pernah meraih emas bersama Pandelela Rinong menerusi acara 10m platform seirama pada edisi 2007 di Thailand.

Berbeza pula dengan Yan Yee yang melahirkan rasa terkilan kerana gagal meraih pingat emas selepas mendahului Jun Hoong pada empat terjunan awal.

"Saya sepatutnya mendapat pingat emas tetapi saya tidak tahu mengapa saya memperolehi markah rendah untuk terjunan terakhir.

"Kedua-dua kami sudah mempamerkan peningkatan dan saya berharap dapat menebus kekecewaan ini dalam acara lain selepas ini," kata Yan Yee.

BERNAMA 

No comments:

Post a Comment