Thursday, 19 December 2013

Bapa diminta kemuka surat nikah

Kemuka surat nikah
Kakitangan JPN Kuala Pilah datang ke rumah Abdullah untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci bagi menyelesaikan masalah berkenaan.


KUALA PILAH – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sembilan meminta bapa tunggal kepada empat anak yang tidak mendapat status kewarganegaraan supaya mengemukakan surat nikah terlebih dahulu sebelum melakukan permohonan kad pengenalan.

Abdullah Akil, 54, yang berasa dari Kemboja hanya mempunyai kad pengenalan merah berstatus penduduk tetap (MyPR) selepas menetap di negara ini lebih 30 tahun.

Abdullah mempunyai lima anak, namun anak sulungnya sudah mempunyai kad pengenalan biru.

Pengarah JPN negeri, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, kes keluarga Abdullah boleh diselesaikan sekiranya mereka mengemukakan surat nikah kepada JPN.

Menurutnya, surat nikah itu perlu bagi mengesahkan Abdullah dan isterinya yang turut berasal dari Kemboja sudah bernikah dan mempunyai pertalian sah di sisi undang-undang serta agama Islam.

"Walaupun anak-anaknya dilahirkan di sini, kita perlu lakukan pemeriksaan teliti kerana mereka berasal dari Kemboja,” katanya yang sudah mengarahkan kakitangannya menyiasat perkara tersebut.

Sementara itu, Abdullah berkata, dia akan mencari semula surat nikahnya bersama isteri, Azimah Musa, 32, demi anak-anaknya.

Menurutnya, dia sudah bercerai dengan isterinya dan kini berada di Kemboja.

“Saya berada di negara ini sejak 1975 dan lebih selesa berada di sini meskipun sekadar kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

"Selepas bercerai empat anak bersama saya. Manakala anak bongsu, Nur Ain Hidayah Abdullah, 6, bersama keluarga angkat kerana saya tidak mampu untuk menjaganya,” katanya.

Abdullah yang berbangsa Khmer bermigrasi ke Malaysia pada tahun 1975 melalui sempadan Thailand.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment