Monday 11 November 2013

Rumah kosong dijadikan lokasi persembunyian suspek tembak pegawai bank

Rumah kosong dijadikan lokasi persembunyian
Gambar fail suspek diiringi polis selepas ditangkap pada Ahad. -- Gambar: Twitter


KUALA LUMPUR:  Suspek kes bunuh dan rompak pegawai AmBank di Subang Jaya menjadikan bangunan serta rumah kosong sebagai lokasi persembunyian selama 19 hari ketika dalam buruan polis.


Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, suspek bersembunyi di beberapa buah rumah serta bangunan kosong sekitar Lembah Klang dan Johor.

"Bagaimanapun, suspek dipercayai melarikan diri menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan teksi untuk keluar dari Lembah Klang menuju ke Johor sejurus selepas kejadian pada 23 Okt lepas.

"Ketika berada di sana (Johor), suspek juga cuba mendapatkan bantuan sindiket pemalsuan dokumen pasport bagi melarikan diri ke negara jiran," katanya ketika dihubungi Bernama hari Ahad.

Suspek ditahan di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor pada kira-kira 7 pagi Ahad.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam Twitter beliau Ahad, memaklumkan bahawa suspek ditahan di Johor serta mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang membantu polis.

Dalam kejadian 23 Okt lepas, pegawai AmBank Subang Jaya Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak suspek ketika membuka peti besi dalam bilik kebal bank berkenaan.

Mangsa, yang berkhidmat selama 16 tahun dengan bank itu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek.

Suspek turut melarikan diri dengan hasil rompakan wang tunai RM450,000.

Penduduk terkejut suspek di Kampung Tanjung Belungkor

Penahanan seorang lelaki di Kampung Tanjung Belungkor hari Ahad, yang dipercayai suspek kes rompakan dan bunuh pegawai AmBank Subang Jaya pada 23 Okt lepas, mengejutkan penduduk kampung berkenaan.

Pemilik kedai makan Sayda, Saari Ahmad, 47, berkata beliau tidak menyangka suspek akan ditahan di kampung itu lebih-lebih lagi kawasan berkenaan bukan 'laluan tikus' untuk mana-mana individu keluar atau masuk ke negara ini.

"Saya hanya mengetahui kejayaan penahanan itu kira-kira pukul 10 pagi tadi daripada rakan dan pemberita. Tentulah saya terkejut kerana saya tidak dengar sebarang cakap-cakap mengenai penahanan itu sehinggalah dimaklumkan pihak media," katanya.

Saari, yang tinggal dan berniaga berhampiran jeti nelayan sejak 20 tahun lepas, berkata beliau tidak melihat pergerakan keluar masuk polis ke kampung itu semalam mahupun pergerakan mana-mana individu yang mencurigakan sebelum ini.

Katanya, terdapat kira-kira 20 rumah di situ dan kampung berkenaan juga mempunyai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung bagi mengawasi keselamatan penduduk.

Seorang lagi peniaga kedai makan, Norlela Mohd Shah, 40, berkata beliau juga tidak menyedari penahanan itu mungkin kerana disebabkan hari hujan.

"Pagi tadi hujan lebat sejak pukul 6.30 pagi sebelum berhenti pada kira-kira pukul 8 pagi. Saya juga tidak menyedari kehadiran polis ataupun orang luar yang mencurigakan kerana ramai orang luar, terutama pemancing, kerap mengunjungi kampung ini," katanya semalam.

Seorang nelayan, Wira Yahya, 47, berkata ada kemungkinan suspek cuba meloloskan diri menggunakan jeti nelayan di kampung itu untuk ke negara jiran memandangkan kedudukan kampung yang berhampiran dengan Pulau Batam, Indonesia.

"Setakat ini, tiada mana-mana orang atau pendatang asing dilihat menggunakan laluan di kampung ini untuk menyeludup keluar kerana kawasan kampung ini kerap dironda pihak berkuasa seperti polis marin dan kastam.

"Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan untuk mereka menyelinap keluar dengan bot kecil kerana ada beberapa nelayan dan saya sendiri pernah kehilangan dua bot kecil beberapa tahun lepas, yang dipercayai dicuri mereka," katanya yang menetap di kampung itu sejak 30 tahun lepas.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment