Monday 11 November 2013

Kegiatan curi pasir oleh warga asing

SPRM

KUALA LUMPUR - Kegiatan licik empat warga asing yang cuba mengaut keuntungan mudah dengan menjual pasir secara haram akhirnya terbongkar dengan penemuan 4,000 tan pasir di kawasan ladang kelapa sawit berdekatan Taman Perindustrian Sri Haneco, Semenyih, dekat sini.

Serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke lokasi itu hari ini mendedahkan pasir itu dikorek empat pekerja warga Indonesia, dipercayai untuk dijual dan digunakan bagi projek perumahan di sekitar kawasan perumahan berdekatan.

Ketua Penolong Kanan Penguasa SPRM Putrajaya Mohd Yussof Zakaria berkata kegiatan haram itu dibongkar susulan risikan di kawasan berkenaan sejak enam bulan lepas selepas mendapat aduan ketua kampung.

"Menerusi serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini kita menemui sebanyak 4,000 tan pasir yang dipercayai belum sempat dijual.

"Mengikut harga pasaran, satu tan pasir halus bernilai RM38 dan satu tan pasir kasar bernilai RM30," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi operasi.

Katanya kes akan disiasat mengikut Seksyen 426(1)(a) Akta Kanun Tanah Negara kerana mengeluarkan bahan batuan tanpa permit, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mohd Yussof berkata selain menemukan pasir itu pihaknya turut menyita sebuah mesin pengorek dan sebuah mesin genset.

Dalam pada itu, Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Selangor Aided Sani berkata kesemua suspek yang ditahan berumur antara 22 hingga 35 tahun.

Dua daripadanya ditahan mengikut Seksyen 63(a) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen, seorang ditahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen kerana tinggal lebih masa manakala seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 39(b) Akta Imigresen kerana menyalahguna pas lawatan, katanya.

Operasi selama empat jam itu turut disertai Jabatan Kerja Raya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment