Monday 11 November 2013

Jurugambar sambilan NSTP dirompak RM8,000

Jurugambar sambilan NSTP dirompak

KOTA KINABALU:  Jurugambar sambilan The News Straits Times Press (M) Bhd Sabah kerugian RM8,000 dan hampir dicederakan apabila sekumpulan perompak melarikan begnya di Jalan Bukit Bendera berhampiran Menara Jam Atkinson di sini hari Sabtu.

Dalam kejadian pada 3.20 petang itu, Mohd Adam Eussoffefuddin Arinin, 25, yang memberhentikan kereta Kancilnya di tepi jalan untuk menjawab telefon, dihampiri sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kuning sebelum sebuah motosikal berhenti di hadapan keretanya.

Ketika kejadian, jurugambar itu dalam perjalanan pulang daripada tugasan di Likas.

Menceritakan kejadian itu, Mohd Adam Eussoffefuddin berkata, beliau cuba mengundurkan keretanya tetapi pembonceng motosikal itu mengacukan pisau ke arahnya sebelum merampas begnya yang terletak di bahagian tempat duduk hadapan.

Beliau berkata, beg itu mempunyai wang tunai RM8,000, satu pemacu pena dan pakaiannya.

Seorang tukang kebun menemui semula beg galas itu kira-kira 15 minit kemudian tetapi kesemua barangan di dalam beg itu hilang, katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Kota Kinabalu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Bandaraya DSP A. Sahak Rahmat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes itu dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment