Monday 11 November 2013

Bekas pembantu rumah antara ditahan bantu kes melarikan Freddie

Bekas pembantu rumah antara ditahan bantu kes melarikan Freddie

KUALA LUMPUR:  Polis menahan bekas pembantu rumah kepada wanita warga Britain, Sarah Joseph bagi membantu siasatan kes melarikan kanak-kanak lelaki, Freddie Joseph di Bangsar pada Jumaat lalu.

Wanita warga Filipina yang berumur 39 tahun itu ditahan bersama-sama teman lelakinya, seorang warga tempatan berumur 53 tahun dalam satu serbuan polis di sebuah rumah pangsa di Taman Desa, di sini jam 11 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata kedua-dua suspek tersebut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

“Pembantu rumah tersebut berada di Malaysia sejak tahun 2004 dan pernah bekerja dengan mangsa (Sarah) sekitar tahun lalu. Suspek bagaimanapun telah ditamatkan perkhidmatan dengan mangsa sejak enam bulan lepas dan kini berkhidmat dengan sebuah rumah di Damansara,” kata Ku kepada pemberita di Balai Polis Pantai tadi.

Ku bagaimanapun tidak dapat mendedahkan sebab-sebab mengapa pembantu rumah tersebut ditamatkan perkhidmatannya.

“Suspek kedua itu merupakan teman lelaki kepada pembantu rumah ini. Dia bekerja sebagai tukang pembaiki paip dan elektrik dan mereka berdua tinggal bersama-sama di unit rumah pangsa tersebut,” katanya lagi.

Suspek lelaki tersebut bagaimanapun tidak menyamai deskripsi lakaran wajah yang didedahkan oleh beliau semalam.

Penahanan tersebut dilakukan kerana terdapat kemungkinan bahawa kedua-dua suspek tersebut dapat membantu siasatan polis samada secara langsung atau tidak langsung.

Ku turut mengesahkan polis juga ada membuat rampasan ketika serbuan tersebut namun enggan mendedahkan barangan yang dirampas itu kerana ianya masih lagi dalam siasatan.

Motif penculikan masih disiasat namun polis sudah pun menolak kemungkinan bahawa penculikan tersebut berkaitan dengan permintaan wang tebusan.

“Kemungkinan tersebut sememangnya tipis namun kita masih menyiasat samada ianya berkait dengan masalah peribadi atau sebab-sebab yang lain dan kita harap dengan penahanan ini dapat merungkaikan lagi siasatan yang dilakukan,” katanya lagi.

Kedua-dua suspek dijangka akan direman esok.

Freddie, yang diculik dari rumah ibunya di Bangsar pada Jumaat petangdijumpai beberapa orang awam di Taman Tasik Titiwangsa kira-kira 12.20 tengah hari semalam.

Dalam kejadian pukul 6.10 petang itu, kanak-kanak berkenaan dilapor diculik ketika bersama ibunya minum petang di halaman rumah mereka di Jalan Terasik 7, Bangsar.

Kira-kira 18 jam selepas Freddie dilapor hilang, dia ditemui semula di Taman Tasik Titiwangsa dan ketika ditemui, kanak-kanak itu yang memakai baju berwarna hijau dan seluar putih berada dalam keletihan dan kelaparan.

Sejurus itu, Freddie dimasukkan ke sebuah pusat perubatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan telah diletakkan di bawah pemerhatian selama 24 jam.

Astro Awani

No comments:

Post a Comment