Thursday 7 November 2013

Perkahwinan selebriti cecah sehingga RM12 juta

Perkahwinan selebriti cecah jutaan ringgit

Bukan sahaja dalam kehidupan seharian, malah menerusi perkahwinan juga, mereka tampil dengan penuh gaya dan glamor agar hari bahagia itu terus menjadi momen indah.

Senario ini bukanlah perkara baru dalam kehidupan artis, malah, jika perkahwinan itu melibatkan golongan selebriti popular, pelbagai syarikat besar berlumba-lumba untuk menawarkan khidmat tajaan.

Bukan sahaja memberi pulangan baik buat penaja dari segi pengiklanan, malah bebanan untuk merangka majlis secara gilang gemilang tanpa mengeluarkan wang tentunya sedikit sebanyak mengurangkan tekanan golongan selebriti.

Jika diselak sejarah perkahwinan artis, mungkin bagi nama-nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Fasha Sandha dan Fouziah Gous, dilihat lebih selesa menguruskan sendiri majlis perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, bagi segelintir selebriti, khidmat tajaan sangat diperlukan bagi merealisasikan impian perkahwinan mereka.

Lihat saja beberapa nama seperti penyanyi Ezlyn, Memey Suhaiza dan Norman Hakim, Mawi dan Ekin yang mana perkahwinan mereka diraikan dalam suasana yang cukup mewah dan menjadi sebutan sehingga kini.

Terbaru, pasangan selebriti, Rozita Che Wan dan Zain Saidin pula dikhabarkan menerima tajaan sepenuhnya pada majlis perkahwinan mereka nanti.

Walaupun tarikh tepat masih belum diumumkan, namun rezeki dramatis ini memang mencurah-curah.

Sebelum ini, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, ini mengakui ada beberapa penaja yang sudi membantu dari segi lokasi, makanan, pakaian dan sebagainya.

Menurut Che Ta, hanya satu barang sahaja yang masih belum mendapat tajaan iaitu cenderamata untuk tetamu.

Perkahwinan yang bakal berlangsung pada Disember ini sememangnya menjadi momen yang ditunggu peminat dan masyarakat.

Malah, ada yang menjangkakan, perkahwinan ini akan turut disenaraikan dalam rekod, 'Wedding of the year'.

Perkahwinan selebriti cecah jutaan ringgit


Tajaan penuh Astro (RM5 juta)

Mendapat hadiah berbentuk tajaan hebat bernilai RM5 juta daripada Astro, Asmawi Ani (Mawi) dan Nora’shikin Rahmat (Ekin), selamat diijabkabulkan pada 20 Disember 2008 dan turut disiarkan secara langsung menerusi Astro Oasis.

Hadiah itu merangkumi liputan menyeluruh secara langsung majlis pernikahan dan persandingan penyanyi popular itu yang akan dipancarkan ke seluruh negara termasuk tajaan lokasi, pengurusan acara dan pelbagai kos penganjuran lain.

Memilih lokasi resepsi di Palace of The Golden Horses, perkahwinan ini turut disenaraikan sebagai 'Wedding of the year' dan mendapat tajaan besar termasuk syarikat kain terkenal, Jakel Trading.

Malah, Ekin turut menyarungkan persalinan kain jenis Valentino dibawa khas dari Itali berharga RM60,000 dan, Lace Marco Lagatolla Italian Beaded Swarovski dengan kombinasi, Crepe Morrocan Italian Harvey berserta Satin Shamus Rivoli French Chiffon yang bernilai RM65,000.

Sementara Mawi pula mengenakan sut rekaan daripada pereka terkenal Bon Zainal dengan kain jenis Italian Linen Ermenegildo Zegna dan Dutches Satin Valentino yang bernilai RM15,000.

Habib Jewels pula menaja cincin perkahwinan Mawi-Ekin yang berharga RM276,100 dan set barangan kemas sepanjang perkahwinan yang nilainya mencecah RM2.5 juta.

Bukan sahaja majlis perkahwinan, syarikat jualan DCL, juga turut menaja pasangan ini berbulan madu.


Perkahwinan 'New York'- Rafflesia (RM12 juta)

Majlis resepsi pasangan selebriti, Norman Hakim dan Memey Suhaiza, yang diadakan pada tanggal 28 September 2011, berlangsung dengan penuh mewah.

Menelan kos hampir RM12 juta, majlis yang dikatakan 'Wedding Of The Year' itu bertemakan ‘New York in Black & White’ dan turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran 200 orang tetamu yang terdiri daripada rakan artis dan wakil media.

Bertempat di Crowne Plaza Mutiara Hotel, Kuala Lumpur, Memey mengayakan gaun pengantin rekaan Vera Wang dibeli khas dari Hong Kong, manakala kasut pula ditaja oleh pereka kasut terkenal, Jimmy Choo dan dihiasi dengan dua set rantai Rafflesia White South Sea Pearls dan Rafflesia Golden South Sea Pearls tajaan Rafflesia.

Norman Hakim pula ditaja oleh Cosmopolitan dan Bohemian suit dari Lords Tailor.

Malah, Memey turut diapit pelakon cantik Miera Liyana, Julia Ziegler, Eina dan Fathia manakala Norman Hakim pula diapit Afiq Muiz, Fizz Fairuz dan dua pelakon Indonesia Didi Riyadi dan Samuel Rizal..

Menariknya, kesemua baju, barang kemas dan kek perkahwinan yang digunakan dalam majlis perkahwinan pasangan itu turut dipamerkan di Muzium Negara pada 26 November hingga 31 Disember 2011.


Gaun kuning, barangan kemas (RM12 juta)

Sama seperti pasangan selebriti, Memey Suhaiza dan Norman Hakim, perkahwinan penyanyi, Ezlyn juga turut ditaja Rafflesia.

Dalam majlis resepsi yang berlangsung di Hotel Crowne Plaza itu, Ezlyn mengenakan gaun dan barangan kemas bernilai hampir RM 12 juta.

Di samping itu, selebriti cantik, Neelofa yang terkenal dengan perniagaan, Neelofa Heels, turut mereka bentuk kasut yang dipakai Ezlynn.

Gaun Ezlyn yang berwarna kuning keemasan mencecah RM 400,000, manakala kasutnya pula bertatahkan mutiara hitam Tahiti serta mutiara putih Laut Selatan.

Barangan kemas pula bernilai RM3 hingga 4 juta manakala sebutir mutiara mencecah RM80,000.

Pengantin lelaki pula disediakan sut dari tajaan, Lord's Tailor.


Set perhiasan Habib Jewels (RM3 juta)

Juru tari profesional, Linda Jasmine juga turut tidak terlepas dari menikmati tajaan aksesori daripada Habib Jewels ketika majlis perkahwinan bersama, Que Haidar.

Malah, keseluruhan aksesori di tiga acara itu berjumlah lebih daripada RM3 juta termasuk tiara buatan South Sea Pearls bernilai RM156,395 dan anting-anting berharga RM88,325 ketika upacara memotong kek.

Selain itu, Linda juga memperagakan set persandingan (safir biru dan berlian) berupa rantai berharga RM2.35 juta, anting-anting, RM629,000, gelang, RM74,800, dan cincin, RM21,000.

Ketika majlis akad nikah pula, Linda mengenakan anting-anting bernilai RM127,830 dan gelang, RM165,000.

Sementara itu, pelakon dan pengacara Serina Redzuawan, turut mendapat tajaan barangan kemas dari Habib Jewels.

Walaupun tidak mendapat tajaan sepenuhnya, namun pakej barangan kemas dari Habib Jewels yang bernilai RM2.5 juta turut menyerikan lagi majlis persandingan dan acara memotong kek.

Bukan sahaja Serina malah, suaminya, Gavin Edward O’luanaigh atau Salahudin Ghafar juga turut mendapat tajaan persalinan daripada Lord's Tailor.


Tuah artis MIG

Mungkin ramai yang tidak tahu, artis di bawah naungan Metrowealth International Group (MIG), sememangnya bertuah kerana urusan perkahwinan mereka turut dibantu oleh produksi ini.

Bukan sahaja pelakon, Diana Amir, malah beberapa artis residen MIG, termasuk Farid Kamil dan Lisa Surihani turut menerima layanan istimewa di hari bahagia mereka.

Menjadi satu tradisi, mereka turut menerima hadiah istimewa daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mejar (K) David Teo, Selain Lisa yang pernah menerima gelang berlian, Diana Amir yang baharu saja melangsungkan perkahwinannya baru-baru ini turut menerima hadiah berupa gelang emas dari majikannya itu.

Malah, sebelum ini, David pernah memberitahu bahawa setiap artis naungannya yang berkahwin, beliau dan MIG akan turut serta memberi bantuan yang termampu.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment