Thursday 7 November 2013

Isteri pun boleh dipalsukan!

ADA yang kata MyKad mempunyai ciri keselamatan tercanggih, dan tidak mudah dipalsukan. Ini ditegaskan sendiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Jariah Mohd.

Tetapi beliau juga mengakui warga asing boleh menyalahgunakan MyKad kita.

Katanya, seperti yang dilaporkan media: “Gambar dalam MyKad itu akan ditukar kepada gambar baharu tanpa mengubah nama, alamat, agama dan jantina pemilik asalnya...” Ertinya tidak susah, malah mudah sangat untuk memalsukan benda penting itu!

Apa yang diperlukan oleh warga asing hanyalah mendapatkan mana-mana MyKad tulen, sama ada dicuri, diragut atau dibeli, kemudian menukar gambar asal kepada gambar dirinya, dan jadilah dia warganegara Malaysia. Apa susahnya? Penyangak dari Mongolia pun boleh memiliki MyKad.

Sekiranya dompet atau beg tangan anda diragut dan kad pengenalan di dalamnya dicuri, kemungkinan besar dokumen penting itu bukan sahaja bertukar tangan malah bertukar gambar.

Memang nama anda, tetapi gambarnya orang Bangladesh atau Mbak Semarang. Kini tentu beribu – mungkin berjuta! – warga asing, termasuk pendatang asing tanpa izin @ Pati memiliki kad pengenalan kita menggunakan modus operandi semudah itu.

Mengikut statistik JPN, hampir 1.5 juta MyKad dilaporkan hilang hanya dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini.

Sukar untuk dipercayai, dan lebih membimbangkan apabila statistik terbaharu sehingga Ogos tahun ini sahaja menunjukkan sudah 461,295 MyKad dilaporkan hilang. Ke mana perginya kad berciri keselamatan dan tercanggih itu?

Apakah tidak mungkin kad pengenalan diri yang hilang itu ditukar gambar asal dan dijual serendah RM200 kepada warga asing, termasuk kepada pengawal keselamatan, seperti dalam kes pembunuhan seorang pegawai bank di Subang Jaya baru-baru ini.

Selain membunuh pengawal keselamatan asal Indonesia itu juga melarikan wang tunai RM450,000.

Tidak sahaja kes di Subang Jaya, pengawal keselamatan yang melarikan barang kemas bernilai lebih RM100,000 di kedai emas Setapak, dan dua pengawal keselamatan yang melarikan barangan elektrik bernilai RM200,000 di sebuah pusat beli-belah Petaling Jaya, juga disahkan warga asing menggunakan MyKad palsu.

Bayangkan seorang warga asing – mungkin penjenayah di negara asalnya – boleh mendapatkan kad pengenalan palsu dengan membayar hanya RM200.

Dengan kepalsuan itu juga dia boleh diterima bekerja sebagai pengawal keselamatan, dan diberi senjata api yang akhirnya membunuh. Di mana-mana, dalam apa hal pun, kita selalu kantoi.

Laporan media kelmarin menyebut kita ada lebih kurang 400,000 pengawal keselamatan, 150,000 daripadanya tidak mematuhi syarat. Undang-undang menetapkan selain rakyat Malaysia, hanya warga asing dari Nepal sahaja boleh diambil sebagai pengawal keselamatan.

Tetapi kita boleh lihat warga bukan Nepal – boleh cam hidung dan wajah mereka – pun memegang senjata api sebagai pengawal keselamatan.

Seperti yang diberitahu Kementerian Dalam Negeri ada 751 syarikat kawalan berlesen dengan 125 daripadanya dibolehkan mengguna senjata api. Syarikat perlu memohon lesen senjata api, perlu pula mendapatkan permit untuk menggunakan senjata api.

Turut disyaratkan ialah pengawal keselamatan yang hendak menggunakan senjata api perlu disemak rekod jenayah, disahkan kewarganegaraan menerusi MyKad dan semakan JPN. Mereka perlu dipantau sekurang-kurangnya tiga bulan.

Apakah syarat-syarat ketat itu telah dipatuhi oleh syarikat-syarikat kawalan keselamatan? Dalam kes MyKad palsu jelas sekali syarikat tidak mematuhi peraturan. Undang-undang telah diketepikan. Apakah yang melanggar peraturan akan terlepas begitu sahaja?

Tidak ada kompromi dalam hal keselamatan. Pihak berkuasa perlu menyiasat semua syarikat kawalan keselamatan, dan semua 400,000 pengawal keselamatan. Ambil tindakan tegas, termasuk menggantung lesen, sekiranya ada yang melanggar undang-undang.

Paling penting ialah pengesahan dari JPM mengenai kesahihan MyKad sebelum seseorang diterima bekerja sebagai pengawal keselamatan. Perhatikan gambar dengan teliti. Patut ada syak sekiranya nama dalam MyKad ialah Ngadiman bin Kasro (contoh), tetapi gambar dan pemiliknya hidung mancung ala-ala bintang filem Hindustan. Ini mesti kes MyKad palsu.

Di tempat kita banyak benda dipalsukan. Pasport palsu, ijazah palsu, wajah palsu, gigi palsu. Malah, isteri dan suami pun dipalsukan, iaitu menerusi kahwin palsu.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment