Thursday 7 November 2013

Akibat dipatuk ular senduk pelajar jawab periksa SPM di hospital

Jawab periksa di hospital
Umi Kalsom menemani anaknya berehat sementara menunggu untuk menduduki peperiksaan pada sebelah petang.


KUALA KRAI – Kesakitan yang dialami akibat dipatuk ular senduk pada Isnin lalu tidak menghalang seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manek Urai, dekat sini menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mohd Awub Mohd Rozi, 17 yang dipatuk ular kali ketiga tetap tabah menjawab soalan bagi Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2 dengan penuh kesabaran pada sebelah pagi dan petang di atas katil dalam wad Hospital Kuala Krai, semalam.

Pelajar itu telah dikejarkan ke hospital kelmarin kerana pengsan di sekolah selepas sehari dipatuk ular dan tidak mendapat rawatan serta tidak memaklumkan kejadian kepada sesiapa.

Dia dikatakan telah dipatuk ular di kaki ketika mahu mengambil buah nam-nam atau lebih dikenali sebagai buah katak puru dalam kalangan masyarakat setempat di halaman rumahnya.

Selepas kejadian, Mohd Ayub ke sekolah seperti biasa sehingga dia pengsan dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Manek Urai sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Ketika ditemui, Mohd Ayub mengaku masih berasa pening dan terpaksa menjawab soalan peperiksaan bergantung kepada keadaannya.

"Saya jawab soalan ikut keselesaan. Adakala saya duduk dan bila rasa pening, saya baring," katanya kepada Sinar Harian.

Memperoleh keputusan 2A pada peperiksaan percubaan SPM, Mohd Ayub bakal bakal menjawab kertas peperiksaan bagi mata pelajaran Biologi sebagai kertas terakhir pada 28 November ini.

Sementara itu ibunya, Umi Kalsom Mohd Zain, 39 berkata, anak sulung daripada enam beradik itu tidak memaklumkan keluarga berkenaan kejadian dan dia hanya mengetahuinya seelpas Mohd Ayub pengsan di sekolah.

Katanya, anaknya itu tidak sedar dipatuk ular senduk yang berada tidak jauh dari pokok nam-nam ketika cuba mengambil buahnya.

"Sebelum kejadian, dia memaklumkan bermimpi dipatuk ular tiga kali berturut-turut dan saya nasihatkan dia supaya buat solat hajat untuk menghindarkan perkara tidak diingini.

"Mohd Ayub pernah dipatuk ular ketika berusia 11 tahun dan juga tahun lalu. Saya doakan dia cepat sembuh serta dapat jawab soalan peperiksaan dengan tenang di dewan peperiksaan bersama rakan-rakannya," katanya.

Umi Kalsom berasa gembira kerana Hospital Kuala Krai menyediakan bilik yang selesa untuk anaknya menjawab soalan peperiksaan dan berterima kasih kepada Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Krai atas kerjasama mereka.

Pegawai Perhubungan Awam Hospital Kuala Krai, Wan Seman Wan Bedollah turut melawat mangsa di wad hospital berkenaan, semalam.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment