Tuesday 12 November 2013

Lana Nordin beri penjelasan

Lana Nordin beri penjelasan
Lana Nordin

BAGI sesiapa yang mengikuti perkembangan aktres Lana Nordin di laman Instagramnya pasti sudah maklum dengan beberapa siri 'peperangan' antara Lana dengan pengikutnya.

Dek kerana kelantangannya bersuara, ramai beranggapan Lana tidak menghargai peminat dan bermulut laser.

Justeru, kesempatan bertemu Lana pada majlis Shout! Award baru-baru ini dimanfaatkan media untuk bertanyakan sebab Lana bertindak sedemikian pada peminatnya.

"Saya sejujurnya tidak kisah apabila ada pengikut di laman Instagram memberi komen atau menegur saya tetapi saya tidak boleh terima jika komen tersebut bersifat kurang ajar dan ada antaranya menyelitkan ayat-ayat lucah.

"Instagram adalah laman sosial, tapi kalau tak tahu macam mana nak bersosial dan nak menggunakan laman tersebut, baik tak payah guna.

"Kebanyakan yang mengeluarkan kata-kata lucah adalah budak-budak. Tetapi bila saya diam makin menjadi-jadi pula. Bila saya privasi akaun saya, mereka kata saya sombong, bila saya buka, lain pula yang jadi," jelasnya.

Menurut Lana, dia sememangnya seorang yang gemar bercakap berterus-terang tetapi itu tidak bermakna dia tidak boleh menerima langsung sebarang teguran.

"Nak tegur boleh, tetapi janganlah sampai mengaibkan. Sedangkan ibu bapa saya kalau nak tegur saya, mereka akan panggil saya dan tidak terus tegur di depan adik beradik kerana mereka mahu jaga air muka kami bila depan adik-beradik yang lain.

"Mereka selalu kata artis tidak boleh terima teguran, tetapi bila saya tegur atau balas balik apa yang mereka kata, mereka juga melenting dan kata macam-macam.

"Tapi saya cuma nak tunjuk, selebriti juga manusia, ada hati dan perasaan. Jika anda tidak suka ditegur secara terbuka, kami juga begitu," ujarnya.

Lana berkata, jika ada masa terluang, dia akan membuang mana-mana pengikut yang dirasakan tidak perlu dan mengakui sudah membuang lebih 10, 000 orang.

"Ada yang jadi pengikut saya kata berdosa tengok saya. Ada yang kata sakit mata. Jawapan saya senang saja, jika rasa berdosa, sakit mata, tak payah ikut. Saya juga tidak pernah paksa mereka jadi pengikut saya di laman Instagram.

"Sebab itu sudah lebih 10, 000 pengikut saya buang atau 'block'. Saya mahu yang ikut saya benar-benar mengikuti perkembangan saya. Bukannya seperti satu kumpulan ini, mereka ikut saya dan sengaja mahu memprovokasi saya sehingga saya marah. Pendek kata, mereka memang sengaja buat saya marah.

"Apatah lagi medium sosial saya dengan peminat hanyalah laman Instagram dan saya tidak aktif di tempat lain termasuk laman Facebook dan saya lihat ada beberapa profil palsu saya di Facebook yang menyamar menjadi diri saya," katanya.

Dalam pada itu, Lana baharu sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Lara Cinta Kasih yang bakal digandingkan dengan aktor terkenal, Hairul Azreen.

Ujar Lana dalam telefilem itu, dia akan membawakan watak wanita bertudung dan mengakui teruja untuk menjayakannya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment