Tuesday 12 November 2013

Boleh buat Graffiti tapi guna lokasi khusus

Graffiti: Guna lokasi khusus
MBJB akan memadam graffiti yang dilukis di lokasi tidak sesuai.


JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan memadam graffiti (lukisan dinding) di lokasi tidak sesuai termasuk di kawasan awam meskipun di premis perniagaan persendirian.

Datuk Bandar MBJB, Ismail Karim berkata, tindakan itu berdasarkan aduan orang ramai yang memaklumkan terdapat lukisan membawa mesej negatif yang dikhuatiri memberi impak tidak baik khususnya kepada remaja.

Tegasnya, MBJB tidak mempunyai halangan untuk semua golongan termasuk belia untuk menunjukkan kreativiti namun menyarankan menggunakan medium bersesuaian selain perlu mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kita tidak mempunyai halangan untuk mana-mana pihak menghasilkan kreativiti masing-masing termasuk graffiti namun mesti menggunakan tempat khusus yang telah disediakan.

“Sebelum ini, terdapat dua lokasi khusus untuk menjalankan aktiviti ini antaranya di Danga City Mall, disebabkan aktiviti ini antaranya yang diminati khususnya golongan belia, dan kita akan sediakan satu lagi lokasi khusus iaitu di Taman Linear berhampiran Taman Bunga MBJB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, Majlis Cabutan Bertuah Cukai Harta MBJB. di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Whip MBJB, Salmah Safar.

Ismail berkata, MBJB akan memadam semua lukisan dinding atau graffiti pada masa terdekat, bagaimanapun pihaknya tidak akan mengeluarkan kompaun kepada mana-mana premis yang mempunyai lukisan berkenaan.

“Kita tidak merancang untuk mengeluarkan kompaun kepada pemilik premis kerana menyedari mereka juga tidak tahu-menahu siapa yang menjalankan aktiviti berkenaan di kawasan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail memaklumkan sebanyak 1,233 kes demam denggi dicatatkan sehingga minggu lalu membabitkan kawasan di bawah pentadbiran MBJB berbanding 408 kes pada tahun lepas.

Sebanyak lapan lokasi dikategorikan sebanyak kawasan wabak denggi antaranya, Flat Larkin, Jalan Tampoi 5, Taman Sri Tebrau, Tampoi indah dan Taman Johor.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment