Tuesday 12 November 2013

Kena lempang enam kali sebab minta keluar awal

Kena lempang enam kali
Rizal menunjukkan telinganya yang berdesing akibat dilempang warden ketika meminta kebenaran keluar awal dari asrama.


REMBAU – Seorang pelajar dilempang warden bertugas sebanyak enam kali selepas meminta kebenaran keluar awal dari asrama sebuah sekolah di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, pelajar berkenaan, Mohd Rizal Kamarulzaman, mengetuk rumah warden untuk meminta kebenaran keluar asrama awal memandangkan keluarganya datang menjemputnya.

Menurutnya, ketukan pertama tidak mendapat respons sehinggalah dia mengetuk buat kali kedua dan ketiga lalu warden menyuruhnya menunggu sekejap.

“Jadi saya menunggu warden keluar dan apabila dia keluar, saya terus dilempang sebanyak enam kali iaitu tiga kali di pipi kanan dan tiga kali di pipi kiri kerana katanya, saya tidak sabar menunggunya keluar,” katanya selepas ditemui di kediamannya dekat sini, semalam.

Tambah Rizal, selepas dilempang dia hanya menundukkan muka dan warden berkenaan bertanya kepadanya sama ada ingin memberitahu hal tersebut kepada ibu dan bapanya.

"Warden mengarahkan saya membasuh muka dan minum air selepas kejadian berkenaan. Kemudian, dia menurunkan tandatangan untuk membenarkan saya keluar.

"Tidak lama selepas itu, rakan-rakan lain datang untuk meminta tandatangan. Bagaimanapun, warden seakan menyindir apabila berkata ‘yang ini dah kena enam kali, yang lain-lain macam mana?" katanya.

Ibu mangsa, Mazlinda Mohd Zin, 43, berkata, dia sudah lama perasan apa sesuatu yang berlaku susulan perubahan sikap anaknya sejak beberapa bulan yang lalu.

"Namun segala-galanya terbongkar apabila melihat muka dan mata anak saya merah sebaik masuk ke dalam kereta.

"Suami saya bertanya kepada Rizal adakah dia baru bergaduh, namun dia mendiamkan diri. Bagaimanapun, setelah diasak barulah Rizal berani menceritakan apa berlaku," katanya.

Tambah Mazlinda, kejadian dilempang warden itu bukan kali pertama berlaku ke atas anaknya.

“Pada mulanya kami tidak mahu memanjangkan hal ini, bagaimanapun kami berjumpa dengan warden berkenaan untuk mengetahui perkara sebenar.

"Warden itu meminta maaf dan menyatakan Rizal boleh melempangnya sebanyak enam kali sebagai balasan," katanya.

Mazlinda berkata, suaminya membuat laporan polis berhubung perkara itu dan difahamkan ramai pelajar asrama lain turut menerima nasib yang sama.

“Sekiranya pelajar mempunyai masalah disiplin yang serius, memang warden perlu beri pengajaran seperti ini tetapi bukanlah bagi kesalahan ini.

“Kami menunggu sampai ke petang di sekolah berkenaan dan sebaik polis tiba bagi berjumpa warden berkenaan, warden sudah menghilangkan diri bersama keluarganya," katanya.

Kata Mazlinda, mujur anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan serius, hanya telinga berdesing dan dia berharap polis dapat menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment