Tuesday 12 November 2013

Bekas pengawal keselamatan curi kabel TNB

HULU TERENGGANU - Seorang bekas pengawal keselamatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Ajil diberkas Rabu lepas ketika dipercayai cuba mencuri peralatan berupa transformer tembaga dan kabel elektrik di stesen pencawang itu.

Dalam kejadian pada kira-kira 6 petang itu, suspek yang berusia 27 tahun sedang melakukan kegiatan berkenaan bersama seorang lagi rakan berusia lingkungan 20-an.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Supritenden Ismail Muslim berkata suspek dan rakannya telah terserempak dengan seorang juruteknik di stesen itu yang melakukan rondaan.

"Ekoran daripada itu, juruteknik berkenaan bertindak menahan pengawal keselamatan terbabit manakala rakannya sempat melarikan diri sebelum menyerah kepada pihak polis kira-kira pukul 11 malam pada hari yang sama," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata ekoran penahanan itu, polis menemui peralatan curi iaitu empat keping besi transformer tembaga, kabel dan sebuah kereta yang diguna suspek.

Suspek kemudian ditahan reman bagi membantu siasatan kes itu.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment