Wednesday 20 November 2013

'Ditipu ustaz': Boy Iman saman malu RM3 juta

'Ditipu ustaz': Boy Iman saman malu RM3 juta

“PERBUATANNYA itu membuatkan saya tertekan bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental!,” tegas pelakon dan penerbit, Boy Iman mengenai tindakan saman malu bernilai RM3 juta terhadap seorang pemilik syarikat bergelar 'ustaz'.

Boy Iman atau nama sebenarnya, Norul Iman A Rahman dilantik sebagai duta syarikat terbabit sejak Mei lalu.

Malah, syarikatnya AFF Pictures Sdn Bhd pula menjadi syarikat pemasaran bagi projek perumahan syarikat berkenaan yang difahamkan bakal membina rumah banglo mampu milik berharga di bawah RM100,000 di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.

Projek ini dibangunkan dalam tempoh tiga tahun dan sebagai ganjaran, dia akan menerima bayaran RM500,000.

“Saya mengikat kontrak sebanyak RM500,000 sebagai dutanya tetapi sehingga kini saya belum mendapat apa-apa pun.

“Lebih parah lagi apabila saya mendapat tahu dia tidak menandatangani perjanjian,” katanya pada sidang media berkenaan, di Ampang, semalam.


Janji-janji kosong

Menurut Boy Iman dia mengenali lelaki bergelar 'ustaz' itu sejak 2005 lagi dan mempercayai individu berkenaan.

Bagaimanapun, kepercayaannya itu mula terhakis sejak Ramadan lalu.

“Masa itu, dia dah mula tarik hak saya sebagai duta syarikat.

“Selepas balik dari mengerjakan Umrah, dia tidak lagi melibatkan saya dalam sebarang aktiviti bagi projek perumahan tersebut seperti perasmian rumah contoh.

“Bagi saya, ini adalah satu penipuan. Dia membawa saya bertemu dengan peguam, tetapi dia sendiri tidak menandatanganinya,” katanya.

Malah, jelasnya lagi, segala apa yang dijanjikan oleh 'ustaz' berkenaan padanya hanyalah satu janji-janji kosong kerana ia tidak pernah ditepati.

Kesal dengan perkara berkenaan, Boy Iman memberitahu, dia tidak mahu masyarakat memandang serong kepadanya.

“Perkara ini memberi impak yang negatif pada saya. Orang ingat saya main-main dan tidak serius bekerja.

"Sekiranya berlaku penipuan, sudah pasti nama saya turut terpalit.

“Sebenarnya, apabila menerima kontrak, saya hanya fokus pada pekerjaan ini. Tetapi apabila perkara itu terjadi, saya hadapi pelbagai masalah lain.

“Saya juga perlu membayar kos-kos lain. Cuma lepas balik Umrah hari tu, saya ada menerbitkan satu program TV. Tapi, itu pun tidak dapat menampung kos yang lain,” katanya.

Tempoh 14 hari

Sementara itu, peguamnya, Faizul Mohd Nasir dari Tetuan Faizul Nasir & Co berkata, sidang media itu dibuat bagi membersihkan nama dan isu-isu yang berkaitan dengan anak guamnya itu.

“Saman malu ini bernilai RM3 juta atas segala kos mahkamah, kerugian yang dialami, penipuan yang diterima, nama dan imej yang diguna pakai.

“Ia juga termasuk maruah yang dipermainkan, malu yang diterima daripada ahli keluarga dan masyarakat serta kerugian wang ringgit akibat tidak menerima pembayaran sebagai duta syarikat,” katanya.

Katanya, setakat ini tiga notis diserahkan kepada pihak yang dituntut.

Jelasnya lagi, pihaknya memberi masa selama 14 hari bermula semalam untuk sebarang maklum balas dari pihak yang dituntut bagi penyelesaian di luar mahkamah.

“Sekiranya kami tidak menerima sebarang maklum balas, maka kes ini akan difailkan di mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, Boy Iman juga telah membuat satu laporan polis mengenai hal berkenaan.

Sidang media itu juga dihadiri oleh wakil Seniman, Lina Tan dan pelakon, Abon.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment