Sunday 10 November 2013

"Bukit sampah" tapak pelupusan haram

Sakit mata tengok 'bukit sampah'
Timbunan sampah yang membukit mengundang bau busuk dan lalat di kawasan berkenaan.


PETALING JAYA - Masalah pembuangan sampah di lokasi tapak pelupusan haram berhampiran Jalan PJS 5/28B, Taman Medan menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan penduduk berhampiran kawasan ini disebabkan bau busuk yang kurang menyenangkan.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan mendapati sampah yang dibuang juga mengundang kehadiran lalat.

Menurut salah seorang penduduk berhampiran kawasan tersebut, Ridwan Othman, 41, sebelum ini, lokasi tapak berkenaan telah diarahkan tutup oleh pihak berkuasa, namun ia dilihat kembali aktif sejak akhir Oktober lalu.

“Selepas pihak berkuasa kerap turun, pihak berkenaan telah menghentikan operasi selama sebulan bermula awal September lalu.

“Namun selepas itu, kawasan ini dilihat kembali aktif dan keadaan sampah yang dikumpulkan di sini sudah seperti bukit,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Ridwan, sampah yang dikumpulkan di kawasan pelupusan haram itu akan mengundang bau busuk memandangkan ia terletak di kawasan paya.

Selain itu, katanya, sebelum ini, paya di situ berada dalam keadaan baik namun kini ia telah dipenuhi dengan sampah dan mengundang bau meloyakan terutama pada waktu hujan.

“Orang awam suka memancing di situ sebelum ini dan setelah ia menjadi tempat pelupusan sampah haram, paya berkenaan sudah tidak lagi boleh digunakan,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Roslan berkata, walaupun Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerap turun ke lokasi tersebut, pihak berkenaan dilihat tidak serik dan tetap menjalankan kerja-kerja pelupusan di tapak haram itu.

“Sebelum ini, selepas penguatkuasa turun ke lokasi, pihak berkenaan menghentikan operasi buat sementara waktu tapi kembali aktif dalam masa beberapa hari,” katanya.

Jelas Roslan, tindakan lebih tegas perlu dikenakan kepada pihak bertanggungjawab bagi membolehkan aktiviti pelupusan sampah tidak lagi berlaku di kawasan itu.

“Banyak kontraktor pengutipan dikesan membuang sampah di kawasan ini dan menyebabkan ia menjadi semakin serius,” katanya.

Dalam pada itu, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan, pihaknya telah membangkitkan isu berkenaan kepada MBPJ minggu lalu bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Tambah Nik Nazmi, pihaknya juga turut menerima aduan daripada penduduk yang memaklumkan operasi di lokasi tersebut kembali aktif sejak beberapa minggu lalu dan menimbulkan kebimbangan sesetengah pihak.

“Kita akan ambil tindakan selanjutnya dalam masa terdekat bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil ke atas pihak berkenaan,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment