Sunday, 27 October 2013

Lelaki mengamuk di Taman Melati didapati positif dadah

Pemandu van syarikat pembekal rokok yang mengamuk dan menikam mati dua orang berhampiran stesen Putra LRT Gombak dan Taman Melati tiga hari lepas, didapati positif dadah dalam saringan ujian air kencing.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai penuntut ekstrim ajaran sesat itu kini berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan dan diletakkan di bawah pengawasan polis.

“Suspek akan direman sehingga 31 Oktober dan sekiranya perlu, reman akan dilanjutkan,” katanya semasa melawat keluarga salah seorang mangsa Lee Kah Ghee, semasa upacara pengkebumiannya di sini, hari ini.

lee

Zakaria berkata polis sedang melakukan siasatan terhadap suspek.

Pada kejadian Khamis lalu, lelaki yang bersenjatakan pisau itu, mengamuk hingga menyebabkan dua orang terbunuh dan dua lagi cedera parah.

Kejadian bermula pada kira-kira pukul 11.20 pagi apabila lelaki itu tiba-tiba mengamuk ketika menghantar rokok ke sebuah kedai berhampiran stesen LRT Gombak.

Lelaki itu menikam pemilik kedai berkenaan yang berusia 60 tahun dan pembantunya seorang warga Indonesia berusia 40 tahun, menyebabkan kedua-duanya cedera parah.

Suspek kemudian meninggalkan tempat itu dengan vannya dan menuju ke Stesen Putra LRT Taman Melati, kira-kira tiga kilometer dari situ, apabila dia melanggar sebuah van lain sebelum menikam pemandunya Lee, 40, dari Taman Segambut Indah, beberapa kali di bahagian dada.

Lee meninggal dunia di tempat kejadian.

Suspek, yang disyaki mengalami masalah mental, kemudian terus mengamuk dengan menikam hingga mati seorang pelajar lelaki berusia 25 tahun, yang cuba melarikan diri selepas keretanya dilanggar van yang dipandu lelaki berkenaan.

Menyedari lelaki itu bersenjatakan pisau, pelajar berkenaan segera keluar dari keretanya untuk melarikan diri, tetapi suspek menghalangnya dan menikamnya beberapa kali di Jalan Tumbuhan, hingga mati.

Orang ramai dapat memberkas lelaki terbabit, yang berasal dari Felda Pemanis, Segamat, Johor, serta merampas sebilah pisau daripadanya sebelum menghubungi pihak polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.



Sumber: ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment