Monday, 21 October 2013

Kenapa kita perlu GST

Kenapa kita perlu GST

Nampaknya sudah tersebar luas cerita kurang tepat tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan kerajaan tak lama lagi, walhal fakta sebenar tidak dihebahkan.


Di sini, saya ingin bidas beberapa gambaran palsu tentang cukai itu dan memberikan pembaca perspektif tepat mengenainya.

Perkara pertama perlu diingat ialah GST hanyalah antara tindakan yang dilaksanakan kerajaan bagi menyusun semula sistem kewangan negara untuk mencari sumber hasil baru dan memperkemas kaedah kutipan cukai.

Selain itu, langkah lain juga sedang diambil termasuklah membanteras rasuah, membasmi pembaziran serta mewujudkan proses pemerolehan yang telus.

GST adalah sebahagian program peningkatan secara menyeluruh dengan penggabungan tindakan lain oleh kerajaan, bertujuan mencapai matlamat sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi secara mapan serta menyeluruh menjelang 2020.

Buat masa ini, asas rangkuman cukai kita terbatas iaitu terlalu bergantung kepada cukai pendapatan, baik cukai korporat mahupun cukai individu.

Jumlah penduduk Malaysia mencecah 29 juta tetapi bilangan yang membayar cukai pendapatan kurang daripada dua juta orang.
Takkan individu dan badan korporat yang sama diminta membayar cukai berkali-kali, malah didesak lagi membayar cukai lebih?

Kita cuma boleh berharap mereka dapat menjelaskan lebih cukai bila pendapatan mereka bertambah.
Sudah tentu jika kita tidak memperluas asas cukai, tidak mungkin sebarang potongan terhadap cukai pendapatan dan korporat dapat dipertimbangkan.

Pelbagai sebab yang mendorong kita memperbesar asas cukai, antara lain adalah hasil pendapatan yang tidak dilaporkan.

Sistem cukai nilai tambah seperti GST adalah cukai penggunaan yang mana bayaran cukai akan dikenakan pada setiap tahap berlakunya penambahan nilai dalam proses itu. Ini bermaksud GST hanya akan dibayar oleh golongan yang mampu berbelanja.

Jika anda mempunyai pendapatan tetapi tidak membayar cukai atas sebab tertentu, anda masih mahu membeli dan menggunakan barangan. Bila anda berbelanja, cukai yang dibayar sebagai GST dapat disalurkan kepada kerajaan sebagai sumber pendapatan.

Jika anda bimbang GST akan menyukarkan hidup anda, perlu diingat apabila GST dilaksanakan, kadar cukai sifar boleh dikenakan atas barang keperluan asas sebanyak mana yang mungkin.

Matlamat ini yang sedang diusahakan kerajaan bagi memastikan rakyat tidak terbeban akibat cukai ke atas barang keperluan asas.

Apabila GST dilaksanakan nanti, cukai jualan serta perkhidmatan yang kini pada kadar 6.0 hingga 10 peratus akan dihapuskan.

Pada tahun awal pelaksanaan GST, pendapatan kerajaan belum boleh memperlihatkan keuntungan kerana hasil yang diperoleh akan mengimbangi kehilangan akibat penghapusan cukai jualan dan perkhidmatan.

Akan tetapi, sesudah beberapa lama, GST akan menyumbang kepada sumber pendapatan kerajaan.
Langkah yang dilaksanakan bagi mempertingkatkan hasil pencarian rakyat akan menjadikan rakyat semakin mewah. Apabila pendapatan rakyat semakin meningkat dan jumlah penggunaan juga meningkat, punca pendapatan daripada GST juga akan bertambah untuk kerajaan.

Apa pula manfaat GST untuk rakyat? Pertama, pengguna tidak akan membayar cukai lebih di atas pembekalan barangan dan perkhidmatan asas seperti makanan, pengangkutan awam dan pendidikan kerana cukai akan ditetapkan berkadar sifar untuk barangan dan perkhidmatan tersebut.

Kedua, penambahan hasil bagi kerajaan membolehkan program kebajikan masyarakat seperti BR1M, iaitu program pemberian tunai untuk golongan rakyat berpendapatan rendah diteruskan.

Besar kemungkinan pelaksanaan GST hanya akan dimulakan pada pertengahan 2015 dan itu pun jika GST diumumkan pada bajet akan datang. Hal ini kerana jangka masa antara 12 hingga 18 bulan diperlukan untuk memperkemas pelaksanaan cukai nilai tambah ini.

Bayangkan sejenak jika anda seorang pengilang barangan pengguna, contohnya minuman dalam botol.
Anda perlu membeli barangan mentah seperti gula, perisa minuman, botol dan lain-lain daripada pembekal. Pembekal ini akan memasukkan cukai GST dalam harga jualan mereka kepada anda.

Bila anda menjual minuman anda pula, anda juga harus meletakkan harga minuman yang ditambah dengan cukai GST. Namun, anda berhak membuat tuntutan rebet daripada nilai harga yang tidak anda masukkan, yakni cukai yang dikenakan oleh pembekal ke atas anda. Untuk itu, anda perlu menyimpan semua rekod anda dengan betul dan kemas.

Kerajaan akan membantu peniaga, khususnya peniaga kecil untuk membuat sistem penyimpanan rekod agar mudah peniaga melaksanakan sistem cukai nilai tambah ini tanpa masalah.

Banyak manfaat lain diperoleh daripada sistem penyimpanan rekod ini. Sebagai contoh, kajian menunjukkan bahawa nilai modal yang begitu tinggi mengalir keluar dari Malaysia tetapi nilai itu tidak sama dengan nilai yang tercatat dalam akaun negara.

Kira-kira 80 peratus daripada nilai itu adalah harga pindah, iaitu syarikat terbabit memindahkan kos mereka ke serata dunia hanya semata-mata untuk mengurangkan bayaran cukai.

Sesudah pelaksanaan GST, perbuatan seperti ini lebih sukar dilakukan kerana semua rekod akan disimpan pada setiap peringkat dalam proses penambahan nilai.

Rekod dalam rantai perniagaan akan mencatatkan nama pembekal dan harga bekalan, sama juga bagi anda yang menjual, semuanya akan disimpan. Rekod seperti ini akan menunjukkan dengan mudah sebarang pemesongan yang berlaku.

Bukan setakat pemesongan nilai modal, malah perbuatan lain juga boleh dikesan menerusi rekod ini. Hal ini memudahkan kastam mengesan mereka yang mengelak duti dan membolehkan Jabatan Hasil Dalam Negeri menyiasat pihak yang melarikan diri daripada membayar cukai.

Pelaksanaan GST akan memastikan pengemaskinian rekod yang lebih sempurna dan memungkinkan kutipan cukai dan duti yang lebih berkesan pada masa akan datang.

Cukai bernilai tambah ini sudah pun dilaksanakan di kebanyakan negara dunia serta ASEAN. Malah, negara pengeluar minyak juga sudah melakukannya.

Perkara yang ingin ditekankan di sini adalah cukai GST ini luas asasnya dan dikenakan berdasarkan jumlah penggunaan.

Golongan kaya selalunya berbelanja lebih, jadi mereka yang mesti membayar GST, bukannya golongan berpendapatan rendah.

Bila dilihat daripada aspek mana pun, GST sememangnya langkah progresif bertujuan untuk menyusun semula sistem cukai negara kita. GST adalah suatu langkah imperatif, kemestian memang bukan satu-satunya sebagai sumber hasil yang mapan bagi sebuah kerajaan ekonomi yang maju dan membangun untuk melabur balik kepada sektor yang memerlukan.

_________________

* Penulis ialah Ketua Eksekutif di Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
* Artikel ini pertama kali disiarkan di Berita Harian.


Oleh: Idris Jala

No comments:

Post a Comment