Monday 21 October 2013

Biola Titanic dilelong dengan harga hampir lima juta

Biola Titanic dilelong dengan harga hampir lima juta

LONDON:  Sebuah biola yang pernah digunakan untuk menenangkan penumpang dalam kejadian tragis kapal tenggelam Titanic, dilelong dengan harga hampir RM 5 juta (£ 900,000).

Harga tersebut merupakan satu rekod dunia untuk barangan bersejarah dari kapal yang kononnya tidak mungkin tenggelam itu.

Instrumen milik Wallace Hartley ditemui terikat ke mayatnya selepas dia lemas dengan tujuh lagi ahli kumpulan muzik tersebut dan 1,500 yang lain pada tahun 1912.

Ia dijual kepada pengumpul barangan antik British dalam bidaan selama 10 minit oleh pakar barangan Titanic, Henry Aldridge dan Sonin Devizes

Biola tersebut mempunyai tulisan nama tunang Wallace, Maria Robinson sebagai kenangan pertunangan mereka dan juga sebuah beg kulit yang mempunyai tanda nama Wallace,  WHH.

Selama beberapa dekad biola itu dipercayai hilang tetapi ia telah ditemui di loteng sebuah rumah di barat laut England pada tahun 2006 yang menyebabkan perdebatan mengenai kesahihannya berlaku.

Hanya baru-baru ini perdebatan di antara pakar-pakar mengenainya diselesaikan.

"Kami benar-benar gembira," kata Christine Aldridge kepada AFP, jurucakap rumah lelongan.

"Ia telah dijual kepada pengumpul British yang membida melalui telefon. Penjualan keseluruhan hanya mengambil masa kira-kira 10 minit."

Beliau berkata, harga akhir termasuk premium yang dibayar kepada rumah lelong itu adalah £1,050,030.

Kumpulan muzik Wallace dikatakan telah memainkan lagu ketuhanan ketika cuba untuk menenangkan anak kapal yang cemas semasa dipindahkan ke perahu penyelamat kerana kapal tersebut bakal tenggelam disebabkan berlanggar dengan bongkahan ais di Utara Atlantik pada 15 April 1912.

Kemudian Wallace telah ditemui selepas 10 hari kejadian kapal itu tenggelam bersama biola tersebut yang diikat dibadannya.

Biola tersebut bagaimanapun telah diserahkan kepada tunangnya, Maria.

Semenjak itu Maria tidak pernah berkahwin sehinggalah biola berkenaan diserahkan oleh kakaknya kepada guru muzik dari kumpulan muzik tentera tempatan di Lancashire, barat laut England.


Astro Awani 

No comments:

Post a Comment