Monday 2 September 2013

Tiada kompromi jika naskhah Akulah dianggap tidak sesuai di Malaysia - Erma Fatima

Akulah, teater


SINGAPURA: Pengarah teater Akulah…(I Am…), Erma Fatima berkata pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya karyanya dianggap tidak bersesuaian untuk dipentaskan di negara asalnya, Malaysia.

Teater bertajuk Akulah itu dipentaskan selama tiga malam di Theater Studio, Esplanade Singapura pada hujung minggu lalu sempena Pesta Raya anjuran pentas berprestij itu.

Diarahkan oleh Erma Fatima, teater itu dibintangi oleh Erra Fazira, Umie Aida, Adi Putra, Amar Bahrin dan Erma sendiri.

“Akulah adalah berkenaan nafsu, nafsu dalam merebut kuasa, nafsu untuk kecantikan yang mana setiap manusia memilikinya. Sekiranya saya perlu mengubah naskhah ini untuk menjaga hati pelbagai pihak lebih baik ia tidak dipentaskan.” tegas Erma yang turut berlakon dalam teater itu.

Dalam pementasan tersebut, Erma membongkar isu nafsu, politik, seksual yang bertunjangkan agama.

“Apabila mahu bercakap tentang nafsu tidak dapat tidak ia perlu diselitkan dengan politik. Ia tidak berkaitan dengan sesiapa pun. Sesiapa yang terasa, nasiblah. Jika mahu difikirkan tentang isu sensitif, adalah lebih baik cari cerita lain.” tegasnya.

Mengulas pemilihan Singapura sebagai lokasi pertama karya itu dipentaskan, Erma berkata, “Memandangkan Singapura tidak begitu sensitif dengan isu yang diangkat dalam karya ini dan mereka tidak cepat terasa dengan isu ini yang membabitkan politik atau pun sesiapa saja di Singapura, kemungkinan besar Akulah akan dibawa ke sini tetapi di pentas yang lebih besar.” tambahnya lagi.

Akulah, teater

Karya eksklusif itu mengisahkan kisah cinta tiga segi yang berlaku di luar kawalan sehingga menyebabkan kematian apabila seorang perayu cinta dan kekasihnya begitu taksub mendapatkan bantuan bomoh dalam memenuhi nafsu mereka.

Tampil berlainan berbanding watak-wataknya sebelum ini, pelakon popular, Erra Fazira sebagai perempuan simpanan seorang ahli politik akui sukar untuk membawakan watak tersebut.

“Tanggungjawab sebagai pelakon saya perlu mendalami watak tersebut. Mujur pengarah dekat dengan saya. Selebihnya tunjuk-ajar berlangsung sewaktu proses latihan di sini. Jujur saya katakan, watak ini cukup berbeza dan tidak menyangka diberikan watak ini. Saya sahut saja cabaran tersebut.” jelasnya.

Tambah Erra lagi, jika pementasan ini ingin dipentaskan di Malaysia ia perlu melalui proses penambah-baikkan lagi dalam beberapa adegan.

“Untuk dipentaskan di Istana Budaya contohnya, karya ini perlu diperbaiki dan jadikannya lebih gah lagi bersesuaian dengan lokasi pementasannya. Kita sedar karya sebegini tidak begitu sesuai untuk pentas tersebut tetapi ia masih boleh dipentaskan di pentas yang bersesuaian.” ujarnya lagi.

Akulah, teater

Memegang peranan sebagai bomoh, pelakon Umie Aida puas apabila wataknya itu ada sedikit persamaan dengan wataknya dalam sebuah filem yang tidak pernah ditayangkan, Dukun.

“Ada lah sikit-sikit sahaja untuk melepaskan kepuasan kepada penonton yang tidak dapat menonton filem tersebut. Saya hanya mengambil dua ke tiga peratus daripada watak tersebut.”

Akui Umie, wataknya itu agak memenatkan dan akan menolak sekiranya ditawarkan kembali untuk membawakan watak tersebut di masa akan datang.

Akulah, teater

Masih baru di pentas teater, Adi Putra puas apabila dapat menggalas watak Dato’ Seri Hilal Ashwad, seorang ahli politik yang dahagakan kuasa.

“Memang berbeza apabila di pentas dan skrin filem, tenaganya berlainan. Graf tenaga untuk berlakon di pentas perlu berada pada tahap 90-95% untuk melontarkan vokal sewaktu persembahan.” ujar Adi yang terkejut apabila filem terbarunya, KL Gangster 2 bocor di internet.

Dalam permainan tragis penuh bernafsu itu, nilai kehidupan harus dipertaruhkan, siapakah di antara mereka bertiga yang akan menjadi mangsa? Siapakah pula yang akan muncul sebagai pemenang?

Pementasan Akulah hanya sesuai untuk golongan dewasan berusia 16 tahun ke atas dan dipersembahkan dalam Bahasa Melayu dengan sarikata Bahasa Inggeris.

Akulah…(I Am…) dipentaskan selama tiga malam bermula 29 Ogos hingga 31 Ogos lalu.



Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment