Monday 30 September 2013

Suri rumah tipu 11 individu dipenjara

Seorang suri rumah dihukum penjara tiga tahun 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku melakukan 23 pertuduhan menipu 11 individu yang ingin mendapatkan projek pembekalan untuk Muzium Polis Diraja Malaysia, membabitkan hampir RM5 juta.

Hakim Mat Ghani Abdullah memerintahkan Suriani Ahmad, 48, menjalani hukuman itu mulai hari ini.

   
Mengikut pertuduhan, Suriani memperdaya Susilawati Mat Ail, Rosnani Sengari@Basar, Noor Azmi A. Karim, Hazaros Hidan, Muhammad Daud Radzuan, Razali Sulong, Junaidah Nasir, Azlan Shuib, Abdul Hamid Man, Mohd Rozi Hamid@Pa dan Abdul Bostani Abdul Rahman bahawa dia boleh mendapatkan projek itu bagi pihak beberapa syarikat sehingga mendorong mereka menyerahkan wang berjumlah RM4,908,809 kepadanya.
   
Kesemua mangsa berumur antara 35 dan 64 tahun dengan kebanyakan mereka adalah kontraktor, pengurus syarikat serta penjawat awam.
   
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa tempat termasuk kafetaria Stesen Keretapi Tanah Melayu di Jalan Sultan Hishamuddin serta Muzium PDRM di Jalan Perdana di sini antara Okt 2010 dan Mac 2011 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
   
Terdahulu, peguam S. Devanandan memohon hukuman ringan kerana Suriani menghidap pelbagai penyakit termasuk asma dan perlu menyara ibunya yang lumpuh.
   
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurshuhaida Zainal Azahar memohon tertuduh dikenakan hukuman berat kerana kesalahan itu melibatkan sejumlah wang yang besar. 

- Bernama

No comments:

Post a Comment