Monday 30 September 2013

Dadah: Saiful Apek dan 3 lain bebas

Saiful Apek


Pelakon dan pelawak terkenal Saiful Apek bersama tiga pekerjanya sekali lagi dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret daripada pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, tiga tahun lepas.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Saiful Apek, atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, 44, dan tiga pekerja syarikat produksi Gitu-Gitu Productions iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 30, Shaiful Baharom, 26, dan Noremy Mohamad, 30, berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Pada 22 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kesemua tertuduh membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret membebaskan mereka daripada pertuduhan pada 25 Jun tahun lepas.

Ahmad Solihin membebaskan Saiful Apek dan pekerjanya selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan, Petaling Jaya pada 11 malam, 12 Jun 2010.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Saiful Apek ketika membela diri berkata dia tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah membabitkan penggunaan dadah.

"Saya percaya saya telah dianiaya oleh pihak yang dengki dengan kerjaya saya sebagai artis," katanya.

Pelakon itu turut memaklumkan mahkamah bahawa dia tidak pernah mengambil atau menghisap apa-apa jenis dadah.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad, ketika ditemui di luar mahkamah, memaklumkan media pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu dalam masa terdekat.

Sementara itu, Saiful Apek berkata, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah yang sekali gus memberi satu harapan baharu buat dirinya.


- Bernama

No comments:

Post a Comment