Tuesday 17 September 2013

KWSP tawar nasihat kewangan persaraan kepada pencarum

KWSP tawar nasihat kewangan persaraan kepada pencarum tahun depan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menawarkan khidmat nasihat kewangan dan persaraan sebagai perkhidmatan nilai tambah kepada pencarumnya tahun depan di cawangan KWSP di Lembah Klang, kata Pengerusinya Tan Sri Samsudin Osman.

"Kami akan memulakan projek perintis di Lembah Klang, dan ke seluruh negara pada fasa akhir program itu dalam tempoh satu atau dua tahun," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Seminar Antarabangsa Celik Kewangan dan Simpanan Persaraan 2013 bertema "Ke Arah Menikmati Persaraan yang Selesa."

Samsudin berkata perkhidmatan baharu itu bertujuan membantu pencarum merancang persaraan dan menyediakan pendidikan kewangan, dalam usaha membantu pencarum KWSP bersedia untuk persaraan mereka.

Beliau berkata kajian menunjukkan orang ramai cenderung mensia-siakan wang dalam tempoh singkat, yang boleh menjadi masalah jika KWSP merupakan satu-satunya sumber pendapatan mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata projek perintis di Lembah Klang itu akan mengambil masa sehingga dua tahun sebelum dilaksanakan di seluruh negara untuk tujuan melatih tenaga kerja.

"Kami bekerjasama rapat dengan agensi-agensi lain seperti Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan latihan yang bersesuaian untuk pencarum," katanya.

Seminar dua hari itu yang dirasmikan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamed Hanadzlah, bertujuan meningkatkan tahap pengurusan kewangan dan celik kewangan di negara ini.

Seminar ini diharap dapat menyediakan platform untuk para peserta dan petugas memulakan pelan tindakan perancangan persaraan, dengan pakar-pakar antarabangsa dan pembuat dasar berkongsi amalan terbaik celik kewangan.

KWSP, dana simpanan terbesar keenam di dunia, bertanggungjawab mengurus RM554.1 bilion dana sehingga suku kedua tahun ini.

Dalam tempoh lima tahun lepas sejak 2008, KWSP membayar dividen purata 6.11 peratus.

- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment