Tuesday 6 August 2013

Pengikut Syiah kini cecah 250,000: KDN

Pengikut Syiah kini cecah 250,000: KDN

PUTRAJAYA:  Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengesan terdapat 250,000 pengikut Syiah di negara ini dengan sepuluh kumpulan dikenal pasti bergerak aktif.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, jika sepuluh tahun dahulu mereka cuma komuniti kecil dan mempunyai tiga buah markas sahaja, tetapi kini markas mereka terdapat hampir di semua negeri.

"Perkembangan teknolgi maklumat adalah antara faktor memudahkan pergerakan kumpulan berkenaan menyebarkan fahaman apatah lagi orang ramai mudah mengakses pelbagai bentuk laman sosial dan media sosial," katanya di Putrajaya, Isnin.

Syiah diwartakan haram oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996. Penularan fahaman itu kian membimbangkan kerana ia boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Abdul Rahim berkata usaha memerangi dan membanteras pergerakan Syiah secara total perlu dilaksanakan bersepadu dan tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada satu agensi sahaja.

"Di pihak KDN misalnya (tindakan dilakukan) daripada segi keselamatan menerusi Polis Diraja Malaysia, Pendaftar Pertubuhan (ROS), kawalan bahan penerbitan menerusi Akta Percetakan dan Penerbitan, pengeluaran cakera padat (CD) dan Cakera Padat Digital (DVD) di bawah Lembaga Penapisan Filem sementara kemasukan pihak luar (diawasi) menerusi Jabatan Imigresen," katanya.

Daripada aspek akidah pula, Abdul Rahim berkata ia di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), media sosial (Kementerian Komunikasi dan Multimedia), hubungan luar (Kementerian Luar) dan institusi pengajian tinggi (Kementerian Pendidikan).

Berhubung tangkapan, beliau berkata dua tindakan pernah dibuat sebelum ini iaitu pada 1996 di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) dan pada 2012 oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Dalam tangkapan oleh JAIS itu seramai 200 pengikut ditahan, namun dibebaskan apabila terdapat masalah teknikal daripada segi perundangan ketika pendakwaan dijalankan," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment