Tuesday 6 August 2013

3 lagi ditahan susulan kes tembak pengasas AmBank


3 lagi ditahan susulan kes tembak pengasas AmBank

KUALA LUMPUR:  Polis telah menahan tiga lagi individu bagi membantu siasatan kes bunuh pengasas AmBank Hussain Ahmad Najadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, tiga individu itu termasuk dua wanita yang merupakan pemegang amanah sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon.

Ku berkata orang ketiga yang ditahan merupakan seorang saksi yang berada di tempat kejadian.

"Kami percayai mereka dapat membantu siasatan terhadap motif pembunuhan ini.

"Lelaki yang merupakan saksi kejadian hadir di IPK pukul 10 malam tadi manakala dua wanita itu ditahan pukul 1.30 petang semalam,” kata Ku pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur hari ini.

Polis juga sedang memburu seorang lelaki berumur 42 tahun yang dipercayai berada di tempat kejadian semasa insiden tembakan itu.

Suspek dipercayai berada bersama penembak dan pemandu teksi yang ditahan baru-baru ini.

Justeru pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki bekenaan tampil memberi keterangan.

Hussain terkena dua das tembakan di dada dan meninggal di tempat kejadian manakala isterinya cedera di pergelangan tangan kiri serta paha kanan.-- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment