Friday 16 August 2013

Kalau ini harga yang perlu dibayar, apa salahnya?

Ini adalah ulasan Pengarang Urusan AstroAwani.com, NOOR AZAM SHAIRI, mengenai apa yg Dr Mahathir katakan mengenai harga kebebasan.


Analisis Berita: Kalau ini harga yang perlu dibayar, apa salahnya?



BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Khamis berkata kes pembunuhan dengan tembakan yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini adalah harga yang harus kita bayar untuk kebebasan. Kalau itu harga yang harus kita bayar, rasanya kita akan bayar — apa masalahnya?

Ya, apa masalahnya kerana kes tembak yang berlaku hampir setiap hari itu menurut polis bukannya kes rambang sebaliknya adalah perang antara kumpulan samseng merebut kawasan dan pengaruh. Kalau kita anggota kumpulan samseng, masuk akal kalau kita bimbang. Kalau kita buat jenayah besar dengan orang, wajar kita bimbang. Kalau kita warganegara yang baik, kenapa kita hendak bimbang dengan harga yang terpaksa kita bayar itu.

Ini bukanlah bermakna kita bersetuju bahawa mereka yang terbunuh dalam kes-kes tembak itu wajar mati dengan ditembak. Negara ini ada undang-undang. Tidak ada sesiapa yang boleh diambil nyawanya atau dicabut kebebasannya tanpa mengikut lunas undang-undang, dan undang-undang itu terpakai ke atas semua orang.

Tentang kes tembak yang banyak itu, polis dilaporkan sudah mendapat beberapa petunjuk dan sedang menyiasat. Yakinlah bahawa polis sedang melakukan sesuatu — biarpun mereka juga sibuk — atau dipaksa sibuk dan kemudiannya, dilihat sibuk — dengan kes-kes lain yang timbul kerana sesetengah daripada kita terlalu sensitif.

Kalau kita tidak mahu percaya kepada polis, kita mahu percaya kepada siapa lagi?

Apa yang pasti — sangat pasti — adalah sukar untuk kita percaya kepada mana-mana orang yang menolak kebebasan. Kebebasan bukan sesuatu yang kotor dan perlu dipandang jijik. Kebebasan bukan penyakit berjangkit yang harus dibasmi. Kebebasan juga bukan pantang larang yang perlu dielak. Kebebasan adalah fitrah manusia.

Biarlah kita diingatkan oleh kata-kata John F. Kennedy bahawa "kita akan membayar apa saja harga, menanggung apa saja beban, berdepan apa saja kesukaran, mendokong teman-teman dan menentang semua musuh" untuk memastikan kebebasan yang wajar dan bermakna dapat dicapai.

Adalah sangat malang kalau kita terlupa bahawa kebebasan merupakan antara asas pembentukan negara ini seperti yang diikrarkan oleh Tunku Abdul Rahman semasa beliau mengisytiharkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Ikrarnya ialah mahu menjadikan negara ini "sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa."

Kalau itu konsep yang menjadi asas pembinaan negara ini sepertimana yang telah dipersetujui oleh leluhur pendiri negara dan bangsa, bagaimanakah seharusnya sikap kita kepada orang yang menolak konsep asas kenegaraan itu?

Orang selalu ada salah faham — atau sebenarnya faham tetapi sengaja mahu mengelirukan orang lain — bahawa kalau ada kebebasan akan ada kekacauan. Sudah-sudahlah menipu seperti ini. Semua orang tahu bahawa tidak ada kebebasan yang mutlak kerana kebebasan yang mutlak akan membawa kepada kekacauan dan anarki.

Itu sebabnya manusia mengaturkan undang-undang untuk mengawal kebebasan. Kebebasan bukan bererti orang boleh melakukan apa saja. Kebebasan ada hadnya.

Perlembagaan Persekutuan dalam memberikan kebebasan bersuara misalnya turut membenarkan sekatan dikenakan ke atas kebebasan itu. Sekatan itu bagaimanapun bukannya sesuatu yang boleh dikenakan dengan sesuka hati. Ada syarat-syarat tertentu yang membolehkan sekatan dibuat seperti ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Bahawa kebebasan merupakan antara asas pembinaan negara ini adalah harga mati yang harus kita pertahankan. Tunku Abdul Rahman dalam ucapannya sehari sebelum merdeka pun ada menyebut bahawa kebebasan yang diperjuangkan dalam merebut kemerdekaan adalah "kebebasan beragama, kebebasan bersuara, kebebasan untuk berkehendak, kebebasan untuk berpersatuan, kebebasan untuk berhimpun dan kebebasan untuk bergerak."

Ini harga mati yang tidak ada tawar-menawarnya lagi.

Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment