Friday 30 August 2013

Anwar gesa pertemuan segera Pakatan Rakyat dengan BN

Anwar gesa pertemuan segera Pakatan Rakyat dengan BN

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengusulkan supaya satu perbincangan diadakan di antara Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) bagi mencari titik penyelesaian isu-isu nasional.

Beliau, dalam satu ucapan perutusan Hari Kemerdekaan memaklumkan parti itu sedia mengenepikan perbezaan yang wujud ‘demi kepentingan dan masa depan negara’.

“Kami percaya adalah penting bagi Perdana Menteri untuk segera mengadakan pertemuan meja bulat di antara kerajaan BN dan PR bagi tujuan mencari penyelesaian isu-isu yang berbangkit,” kata Anwar di ibu pejabat PKR pada Jumaat.

Menurutnya sambutan Hari Kemerdekaan mestilah mengambil kira perkara-perkara yang baik yang telah dilakukan dan bukannya dengan mengulangi kesilapan masa lampau.

Jelas Anwar meskipun Pakatan Rakyat mendapat undi majoriti rakyat serta menentang keras keputusan PRU13, namun mereka bersedia mengadakan perbincangan tersebut .

“Antara topik-topik yang akan dibincangkan ialah isu kaum dan agama yang mencetuskan ketegangan akhir-akhir ini, masalah ekonomi negara yang semakin merudum dan masalah jenayah yang semakin membimbangkan rakyat di seluruh negara,” kata ketua umum PKR itu.

Tambahnya lagi, perbincangan tersebut akan menyentuh tata kelola pemerintahan yang bersih dan bebas dari unsur-unsur rasuah serta pembasmian rasuah.

Sementara itu, Anwar menafikan perbincangan tersebut adalah bagi tujuan membentuk sebuah kerajaan perpaduan.

Katanya tujuan perbincangan itu merupakan perbincangan terbuka yang biasa diamalkan oleh sebuah kerajaan demokrasi.

“Tidak, kami tidak mencadangkan untuk membentuk kerajaan perpaduan... malah, ia (kerajaan perpaduan) tidak berbangkit sama sekali,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, perbincangan harus diadakan secara terbuka dan telus serta menolak sebarang cadangan mengadakannya secara tertutup.

Pada 12 Ogos, portal berita Asia Sentinal melaporkan Anwar mendakwa Najib menerusi bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla telah menawarkan kerjasama untuk membentuk kerajaan perpaduan antara UMNO dan PKR.

Anwar berkata beliau menolak cadangan berkenaan berikutan isu asas mesti diselesaikan dahulu seperti menghentikan serangan perkauman ke atas kaum Cina dan India melalui akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia.

Pejabat Perdana Menteri bagaimanapun telah menafikan laporan sambil menegaskan dakwaan berkenaan hanyalah “daya imaginasi” kerana tidak ada sebarang usaha ke arah mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan.

- Astro Awani 

No comments:

Post a Comment