Sunday 18 August 2013

Anugerah Lawak Warna bakal angkat komedi kelas pertama?

Anugerah Lawak Warna bakal angkat komedi kelas pertama?

KUALA LUMPUR:  Buat julung kalinya, sebuah majlis anugerah yang mengiktiraf bakat komedi tempatan bakal berlangsung pada malam ini. Majlis Anugerah Lawak Warna bakal diadakan di Istana Budaya dan disiarkan secara langsung di saluran Astro WARNA (132) dan Mustika HD (134).

Dalam kategori filem, saingan sengit pasti berlaku kepada dua buah filem iaitu Istanbul Aku Datang dan Rock Oo. Filem arahan Bernard Chauly, Istanbul Aku Datang dibintangi oleh Beto Kusyairy dan Lisa Surihani, manakala filem Rock Oo arahan Mamat Khalid dibintangi oleh Que Haider, Khir Rahman dan Pekin Ibrahim.

Astro AWANI menjangkakan pelakon Que Haider (Rock Oo) dan Lisa Surihani (Istanbul Aku Datang) bakal membawa pulang trofi Pelakon Komedi Lelaki dan Wanita Terbaik dalam kategori filem.

Dua jaguh pengarahan, Mamat Khalid dan Bernard Chauly turut bersaing sengit dalam kategori Pengarah Komedi Terbaik (Filem). Kelebihan dilihat berpihak kepada Mamat Khalid yang berjaya menggarap filem Rock Oo dengan berkesan dan menampilkan visual era 80an dengan cemerlang.

Melihat kepada senarai pencalonan, boleh disimpulkan bahawa pencalonan terpecah kepada komedi kelas pertama dan komedi kelas ekonomi. Komedi yang menjadi tarikan masyarakat berbanding komedi bijak yang sukar dekat dengan penonton.

Apa pun tanggapan yang diberikan, Anugerah Lawak Warna telah membuka satu jalan penting kepada penggiat seni genre komedi untuk lebih meningkatkan kualiti karya mereka.

Kategori terbaik bakal dinilai oleh juri profesional, manakala penonton diberikan kuasa menerusi undian SMS untuk menentukan pemenang dalam kategori popular.

-Astro Awani 

No comments:

Post a Comment