MELAKA: Sebuah pesawat ringan milik Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) terhempas di perairan Selat Melaka berhampiran Masjid Selat, Pulau Melaka di sini pada Selasa.
Dua lelaki bersama juruterbang wanita yang berada dalam pesawat jenis Piper PA-28 itu bagaimanapun hanya cedera ringan dalam kejadian pada 8.26 malam.
Mereka ialah Kapten Shar Rom, 27, (juruterbang) serta pembantu juruterbang Fairol Bamil, 23, dan Soh Sien Shoong, 22.
Soh, yang berada di tempat duduk bahagian belakang pesawat, dilapor mengalami calar di belakang badan sementara Shar cedera di kening manakala Fairol cedera ringan.
Mereka kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba Jalan Kubu Yazid Mohd Tahir, ketika ditemui pemberita, berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.41 malam sebelum tiba seminit kemudian dengan satu jentera dan sebuah bot bersama 15 anggota penyelam.
Beliau berkata Shar dan Soh berenang kira-kira 400 meter ke pantai sebelum mendapatkan bantuan orang ramai, termasuk Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron, yang berada di Masjid Selat.
Katanya, bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamatkan Fairol sebelum menemui mangsa yang terapung pada 9.30 malam.
"Ketika tiba di lokasi, mangsa tidak berpaut pada apa-apa dan menggunakan lampu suluh bagi membantu pihak bomba mengesan kedudukannya," katanya sambil menambah punca kejadian masih disiasat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shah Gzali Khan Shahadat berkata polis marin dan bomba akan menyambung operasi mengesan pesawat yang terhempas selepas menamatkan operasi pada 11 malam.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment