Seorang jururawat 'dimandikan' setelah satu unit termometer Klinik Desa Sungai Petai, Alor Gajah terbabit pecah menyebabkan tumpahan merkuri, pagi tadi. - Foto ihsan bomba
ALOR GAJAH - Seorang jururawat Klinik Desa Sungai Petai, di sini, terpaksa 'dimandikan' setelah satu unit termometer di klinik terbabit pecah menyebabkan tumpahan merkuri, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, dipercayai berlaku apabila seorang jururawat sedang membuka satu peralatan bacaan darah tinggi jenis manual di meja kaunter sebelum termometer itu terjatuh ke lantai lalu pecah.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Suhairi Mohd Sufian berkata, tindakan pantas pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Bomba berjaya mengawal keadaan selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, difahamkan peralatan itu tiba-tiba jatuh dan berlaku tumpahan bahan merkuri jenis H80 dengan kuantiti sebanyak lima miligram.
"Sepasukan anggota termasuk komander operasi terlibat dalam kerja-kerja membersihkan tumpahan merkuri itu dengan melakukan proses nyah cemar termasuk memandikan jururawat itu.
"Kerja-kerja pembersihan turut dilakukan di kawasan lapang dan mengambil masa lebih kurang dua jam bagi memastikan tiada sisa merkuri di kawasan sekitar," katanya.
- Sumber: Sinar Harian | 14 April 2017
No comments:
Post a Comment