Tuesday, 25 April 2017

Enam kes bunuh wanita kekal misteri

Kes kehilangan dan pembunuhan Erica Jean, Maria Clariz (gambar kecil kiri) dan Mary Jane (gambar kecil kanan) di Zamboanga City kekal misteri. 

ZAMBOANGA CITY - FILIPINA. Maria Clariz Faylona, 23, dilaporkan hilang pada 2 April dan mayatnya ditemui dalam keadaan berbogel tujuh hari kemudian manakala Erica Jean Rosal, 20, turut ditemui mati dengan mukanya hancur dan tangannya diikat dengan tali nilon dua hari selepas kehilangannya pada 4 Januari lalu.

Maria Clariz dan Erica Jean adalah mangsa kelima dan keenam yang diklafikasikan polis sebagai kes kehilangan dan pembunuhan wanita yang kekal misteri.

Sebelum Maria Clariz dan Erica Jean, empat wanita lain turut dilaporkan hilang dan mereka kemudian ditemui mati, namun polis berkata, kes-kes berkenaan tidak mempunyai perkaitan antara satu sama lain.

Polis tidak menemui sebarang perkaitan antara kesemua kes dan satu-satunya perkaitan hanyalah kesemua kes berkenaan masih tidak dapat diselesaikan.

Ketika keluarga Maria Clariz berusaha mencari wanita itu selepas dilaporkan hilang dan pencarian berakhir selepas dia ditemui di kawasan perkuburan di perkampungan Pasonaca, hampir 2 kilometer dari kediaman mereka.

Mereka kemudian menemui mayat seorang wanita dalam keadaan berbogel yang kemudian disahkan sebagai Maria Clariz.

Keadaan mayat wanita itu menunjukkan kesan dipukul dan mukanya turut hancur yang menyebabkan identitinya sukar dikenal pasti.

"Kami tidak dapat mengecam Maria pada mulanya.

"Namun tatu pada lehernya dan selipar yang ditemui mengesahkan mayat wanita itu adalah Maria," kata abang mangsa, Julius.

Sementara itu, Januari lalu, mayat Erica Jean ditemui dalam keadaan badannya yang menunjukkan penyeksaan yang sama dengan mukanya yang hancur dan sukar dikenal pasti di perkampungan Lunzuran.

Menurut Ketua Inspektor polis bandar, Arlan Delumpines, mangsa Erica Jean meninggalkan rumah pada 5 Januari untuk bermalam di rumah rakan sekelasnya bagi menyiapkan projek sekolah.

Pada hari berkenaan, dia meninggalkan rumah rakan sekelasnya untuk kembali ke rumahnya, namun dia tidak ditemui selepas itu.

Pada 6 Januari, mayat Erica ditemui tujuh kilometer dari kampungnya di Baliwasan iaitu di mana rakan sekolahnya tinggal.

Mayatnya dibuang di bawah pokok. Polis berkata, Erica Jean telah dirogol sebelum dia dibunuh.

Kes-kes Maria Clariz dan Erica Jean menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk yang masih dihantui dengan beberapa kes kehilangan dan pembunuhan seperti itu.

Sebelum ini, Maricel Macrohon berusia 33 tahun ditemui mati di Townville Subdivision pada 4 Oktober 2016 sementara dua kes membabitkan dua wanita berusia dalam lingkungan 20 ke 30 tahun yang identiti masih belum diketahui turut ditemui mati enam bulan lalu di perkampungan Limpapa.

Tiada keluarga tampil mengenalpasti mereka sehinggalah mayat mereka dikebumikan di tapak perkuburan mayat yang tidak dituntut.

Pada 12 November 2015, Mary Jane Herrera, 16 dan seorang pelajar sekolah tinggi Don Pablo Lorenzo Memorial High School meninggalkan rumah untuk bertemu rakan-rakan sekelas untuk projek sekolah dan latihan tarian namun tidak pernah pulang ke rumah selepas itu.

Sebulan kemudian, carian keluarganya untuk Mary Jane berakhir di sebuah rumah di Kampung Pasay di mana pekerja menggali telaga menjumpai rangka manusia yang masih memakai pakaian seragam sekolah, dengan beg sekolah dan ID.

Mayat itu dikenalpasti sebagai Mary Jane.

"Kami meminta penguatkuasa undang-undang untuk memudahkan, melakukan kerja anda," kata Julius, abang Maria Clariz.

"Rayuan ini bukan sahaja untuk kita, ini adalah untuk semua orang. Anda mempunyai anak dan kami mempunyai anak yang mungkin menjadi mangsa seterusnya. " katanya dipetik Philippine Daily Inquirer

Ibu saudara Erica Jean, Gail Rosal, percaya Erica Jean dan kes Maria Clariz, mempunyai perkaitan.

"Erica Jean dan Maria Clariz menyertai kumpulan tarian yang sama dan belajar di sekolah yang sama,Zamboanga State College of Marines Science and Technology.

"Pembunuh yakin mereka tidak akan ditangkap kerana, seperti yang anda lihat, mereka terus melakukan jenayah.

"Saya amat sedih dengan kenyataan polis bahawa pembunuhan ini tidak berkaitan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Bandaraya, Supt kanan. Luisito Magnaye, berkata walaupun pembunuhan kekal tidak dapat diselesaikan, polis terus mencari petunjuk.

"Setakat ini, kita tidak pernah melihat apa-apa petunjuk bahawa seorang pembunuh bersiri terlibat," kata Magnaye.

Datuk Bandar Maria Isabelle Climaco-Salazar berkata pihaknya meminta pihak polis untuk menyelesaikan kes dan menggesa ibu bapa untuk menjaga dengan rapi anak-anak mereka.

"Adalah penting ibu bapa perlu mengawasi anak-anak mereka," katanya.

- Sumber: SH Online | 25 April 2017

No comments:

Post a Comment