Saturday 16 January 2016

Shah Iskandar-Siti Sarah sah bergelar suami isteri

SHAH Iskandar yang berasal dari Woodlands, menyerahkan wang hantaran berjumlah RM30,000 selain mas kahwin berupa sebentuk cincin emas. - Foto Instagram

SITI Sarah Mohd Noor. - Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, pelakon kelahiran Singapura yang mencipta nama di negara ini, Shah Iskandar Mahfuz, 33, selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihan hatinya, Siti Sarah Mohd Noor, 30. Majlis pernikahan pasangan itu berlangsung di The Ballroom @East Coast, Singapura, jam 4 petang tadi. 

Pada upacara ringkas yang dihadiri lebih 200 tetamu itu, Shah yang berasal dari Woodlands turut menyerahkan mas kahwin iaitu sebentuk cincin emas dan wang hantaran berjumlah RM30,000. Pasangan mempelai turut berbalas dua dulang hantaran.

"Alhamdulillah, fasa baharu dalam hidup saya dan isteri sudah bermula. Tiada apa yang saya pinta, kecuali kehidupan kami akan terus diberikan Allah SWT. Memikirkan usia masing-masing sudah matang, kami memilih untuk terus bernikah tanpa bertunang bagi memudahkan segala urusan," katanya.

Shah yang pernah dua kali dinobatkan sebagai Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada edisi 2013 dan 2014 berkata, dirinya tertarik untuk menyunting Sarah sebagai suri hidupnya kerana wanita itu penyabar, baik hati serta memahami kerjaya seninya. 

SHAH Iskandar sah bergelar suami petang tadi dengan gadis pilihan hati, Siti Sarah Mohd Noor yang berlangsung di The Ballroom @East Coast, Singapura. - Foto Instagram

Pertemuan mereka diaturkan oleh kakak Sarah atas urusan perniagaan. Ketika itu, Sarah yang mengusahakan produk kecantikan ingin meminta bantuan Shah untuk mempromosikannya di Instagram. Hanya tahun lalu, hubungan mereka semakin akrab seterusnya membawa ke jenjang pelamin.

"Sejak awal perkenalan, saya mengambil langkah selamat dengan tidak terlalu menggembar-gemburkan hubungan kami. Hanya selepas mengenali lebih rapat dan bertemu keluarga, saya yakin Sarah ialah jodoh yang tertulis. Alhamdulillah, niat suci kami diberkati Allah," katanya. 

Selesai majlis pernikahan disusuli resepsi di Singapura, pasangan ini akan sekali lagi diraikan di Shah Alam pada 16 April depan. 

Shah berkata, majlis resepsi mereka di ibu negara terpaksa dilewatkan disebabkan dirinya terikat dengan komitmen sebagai pengacara untuk program realiti pencarian bakat baharu dalam bidang lakonan dan pengacaraan, Anugerah Skrin di Singapura selama tiga bulan.

"Bakat saya dicungkil menerusi pertandingan itu dan kemunculan semula dalam program terbabit, seolah-olah mengimbau semula perjalanan yang saya lalui dulu. Cuma pengalaman kali ini berbeza apabila saya kembali sebagai pengacara," katanya.

Shah mula dikenali di negara ini selepas menerima pelawaan Datuk Yusof Haslam dengan membintangi drama bersiri Gerak Khas pada tahun 2009. Dalam drama itu, Shah membawakan watak inspektor polis bernama Hisyam iaitu anak kepada Sarjan Misai lakonan A Galak. 

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment