Saturday 16 January 2016

Najib edar sampul angpau percuma sempena sambutan Tahun Baharu Cina

Sampul angpau itu berwarna merah dan memaparkan karikatur Najib dengan berbaju tradisional Cina. - Foto Facebook

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengedarkan sampul angpau secara percuma sempena Tahun Baharu Cina yang akan disambut masyarakat Cina pada 8 Februari ini.

"Sambutan Tahun Baharu Cina akan tiba tidak lama lagi, kami akan mengedarkan sampul angpau Ah Jib Gor edisi khas secara percuma kepada peminat-peminat," menurut kenyataan berbahasa Mandarin yang disiarkan melalui laman Facebook Ah Jib Gor.

Menurut laman web Facebook Ah Jib Gor, peminat-peminat hanya perlu tekan "Like" pada laman itu dan mengisi butiran peribadi seperti alamat rumah, nama penuh dan nombor telefon masing-masing.

Sampul angpau itu berwarna merah dan memaparkan karikatur Najib dengan berbaju tradisional Cina serta karakter kartun monyet yang dicetak perkataan "Selamat Menyambut Tahun Monyet' dalam warna emas.

Setiap paket mengandungi 10 keping sampul angpau dan akan diedarkan sementara stok masih ada.

Masyarakat Cina akan menyambut Tahun Monyet Api pada 8 Feb ini.

Ah Jib Gor merupakan Facebook perdana menteri dalam bahasa Mandarin, mula beroperasi sejak 16 Jan 2012 sebagai satu lagi platform untuk mendekati masyarakat dengan lebih meluas menerusi laman sosial.

Ah Jib Gor yang bermaksud "Abang Najib" dalam bahasa Mandarin, diwujudkan untuk memberikan satu lagi forum kepada pengguna media sosial berbahasa Mandarin.

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment