Friday 15 January 2016

Rene Angelil suami Celine Dion meninggal dunia

GAMBAR fail Celine Dion bersama suaminya, Rene Angelil di Molson Centre, Montreal pada 8hb September, 1999. - Foto REUTERS

LAS VEGAS: Rene Angelil, suami dan pengurus Celine Dion meninggal dunia di kediamannya di pinggir bandar Las Vegas, kata pihak berkuasa hari ini.

Mendiang berusia 73 tahun dan menghidap kanser tekak sejak sekian lama.

Koroner Clark County, John Fudenberg berkata, Angelil meninggal dunia di Henderson dan di bawah penjagaan seorang doktor.

Katanya, Angelil meninggal dunia atas sebab semula jadi dan tiada penyiasatan lanjut dijangka dilakukan.

Entri dalam akaun Facebook rasmi Dion turut mengesahkan kematian Angelil: "Dengan rasa terlalu sedih bahawa kami ingin mengumumkan bahawa Rene Angelil, umur 73 meninggal dunia pagi ini di kediamannya di Las Vegas selepas bertarung dan menghidap kanser. Keluarga ingin mengadakan majlis berkabung secara tertutup."

Dion dan Angelil dikurniakan tiga anak - Rene-Charles, yang lahir pada 2001 dan kembar Nelson dan Eddy, yang dilahirkan pada 2010. Mendiang juga mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan hasil dua perkahwinan terdahulu.

Dion dan Angelil, 26 tahun perbezaan umur di antara mereka, berkahwin pada 1994 di Notre Dame Basilica, Montreal. Mendiang sentiasa dilihat berada di sisi Dion.

Angelil dilahirkan di Montreal oleh ibunya seorang warga Kanada manakala bapanya adalah rakyat Syria. 

Mendiang pernah bersama kumpulan Les Baronnets sehingga 1972, apabila mula menguruskan kerjaya beberapa penyanyi di Quebec. - AP

No comments:

Post a Comment