Saturday 2 January 2016

Piya akui tertekan berita palsu maut kemalangan


Piya menafikan kenyataan palsu yang menjadi viral di media sosial. - Foto Sinar Harian


KAPTEN pasukan The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi atau lebih dikenali dengan panggilan Piya akui tertekan dengan penyebaran berita palsu mengatakan dia terlibat dalam kemalangan maut.

Menurutnya, penyebaran berita tersebut menyebabkan dia dan ahli keluarganya berada dalam keadaan tertekan setelah tidak putus-putus menerima panggilan bertanyakan perkara itu.

“Saya diberitahu oleh ahli keluarga yang mendapat panggilan daripada saudara-mara sekitar tengah hari tadi. Ketika itu saya sedang tidur kerana pada sebelah petang saya akan pergi ke padang untuk menjalani latihan.

“Ramai juga rakan-rakan terdekat selain pihak media turut menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian berhubung berita tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Berita mengatakan pemain berusia 34 tahun itu terlibat dalam kemalangan maut di Kota Bharu menjadi viral dalam laman sosial semalam, sekali gus mencetuskan kesedihan dalam kalangan penyokong TRW.

Akui ‎terkejut dan tidak tahu punca penyebaran berita palsu berkenaan, Piya turut menyifatkan ia turut mengganggu tumpuannya menjalani latihan bersama pasukannya ketika ini.

Piya menambah, dia sangat kesal dengan penyebaran berita itu dan menasihati semua pihak termasuk penyokong setia TRW tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat yang belum sahih dalam laman sosial.

“Nasihat saya, selidiklah dahulu sesuatu perkara itu, jangan tulis sesuka hati selagi kita belum dapat maklumat yang sahih. Tengok apa yang berlaku hari ini, menyusahkan semua orang,” katanya sambil berharap penyokong Kelantan bertenang berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang kini berada di Makkah untuk mengerjakan umrah mengesahkan berita Mohd Badhri terlibat dalam kemalangan maut adalah tidak benar.

“Berita dan gambar Piya kemalangan adalah palsu. Ini gambar terbaru beberapa minit lalu bersama Pegawai Media, Wan Badri (Wan Omar) dan keretanya.

Janganlah kita menyebarkan berita karut kerana perbuatan fitnah itu berdosa. Semoga ALLAH SWT mengampunkan kita semua,” katanya dipetik menerusi laman Facebook miliknya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment