Saturday 2 January 2016

Norman Hakim, Rajinikanth bertemu dalam Kabali

PELAKON, Norman Hakim. 

KUALA LUMPUR: Pelakon bertubuh sasa, Norman Hakim, 39, mengakui, hatinya berbelah bahagi untuk menerima tawaran beraksi dalam filem Tamil, Kabali yang menampilkan superstar Kollywood, Rajinikanth sebagai bintang utama. 

Norman berkata, dia sukar membuat keputusan terutama apabila memikirkan terpaksa meninggalkan keluarga lebih dua minggu untuk menjalani penggambaran di India. 

"Saya ambil masa yang agak lama untuk berfikir, terutama apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga. Tetapi isteri, Memey Suhaiza sentiasa memberikan sokongan. Dia yang mendorong saya mengambil peluang berharga ini untuk memperluaskan kerjaya lakonan di luar negara. 

"Saya menelefon Datuk Rosyam Nor yang turut beraksi dalam filem itu untuk mendapatkan motivasi. Sama seperti isteri, beliau juga memberikan kata semangat supaya saya tidak melepaskan peluang itu," katanya.

Norman berlepas ke Chennai, hari ini dan akan berada di sana hingga 15 Januari untuk menjalani penggambaran filem itu. Selain Norman dan Rosyam, filem arahan Pa Ranjith itu turut dibintangi seorang lagi pelakon tempatan, Zack Taipan.

Bakal menemui penonton pada April ini, filem yang menampilkan Rajinikanth sebagai gengster berusia dalam misi mengesan anak perempuannya yang diculik itu, turut menjalani penggambaran di Malaysia.

Norman mengakui, dia agak selektif dalam menerima tawaran berlakon sepanjang tahun lalu disebabkan ingin memberi fokus kepada perniagaan butik dan gimnasium. 

Selepas melihat segala urusan berkaitan perniagaannya berjalan lancar dan semakin stabil, Norman bersedia untuk kembali aktif berlakon pada tahun ini.

"Dulu, masa saya agak terbatas untuk berlakon kerana ingin terlebih dulu mengukuhkan perniagaan yang baru berkembang. Tawaran berlakon masih diterima, cuma saya hanya mempertimbangkan tawaran yang tidak memerlukan saya terlalu lama di lokasi penggambaran.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan ia memberikan saya kekuatan untuk kembali berlakon. Tidak sangka pula niat itu dipermudahkan apabila saya menerima tawaran membintangi Kabali," katanya.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment