Sunday 23 August 2015

1MDB: Khairuddin buat laporan polis di London

Khairuddin Abu Hassan

SHAH ALAM – Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan melangkah lebih jauh apabila membuat laporan polis ke atas syarikat Petrosaudi International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Balai Polis Chairing Cross, London.

Khairuddin memaklumkan perkara itu menerusi laman Facebooknya semalam, bahawa laporan itu dibuat berdasarkan dakwaan pengubahan wang haram yang melibatkan syarikat tersebut.

“Laporan polis ini adalah berkisar kepada pengubahan wang haram di antara syarikat Petrosaudi International dan 1MDB untuk disiasat oleh The Proactive Money Laundering Investigative Team.

“Polis Metropolitan London juga telah menghubungi peguam saya Matthias Chang dan berikrar untuk memberi kerjasama dalam melaksanakan penyiasatan aktiviti pengubahan wang haram rentas sempadan ini secara komprehensif serta telus,” katanya.

Beliau turut menegaskan tindakannya menggunakan proses undang-undang antarabangsa bertujuan membolehkan siasat terperinci dilakukan terhadap syarikat milik kerajaan itu.

“Ini dana kerajaan yang juga wang rakyat selaku pembayar cukai di tanah air kita. Ini adalah maruah negara yang mesti disiasat oleh badan-badan penguat kuasa undang-undang mahupun kewangan secara terperinci.

“Sepatutnya kerajaan kita menyiasat kes ini secara telus dan saksama dan sesiapa saja yang terlibat dengan jenayah ini harus dibawa ke muka pengadilan tanpa pilih kasih,” katanya.

Katanya undang-undang tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak termasuk pemimpin negara. 

Disember tahun lalu, Khairuddin mengejutkan ramai pihak apabila beliau satu-satunya pemimpin Umno yang membuat laporan polis terhadap 1MDB.

Bulan lalu, Khairuddin turut membuat laporan kepada polis Perancis mengenai 1MDB, dan tiga hari lalu beliau turut membuat laporan sama kepada Peguam Negara Switzerland.

Kontroversi 1MDB mendapat perhatian ramai termasuk media antarabangsa apabila syarikat itu dikatakan menanggung beban hutang sebanyak RM42 bilion.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment