Najwa Mahiaddin
MESKIPUN hampir empat bulan bergelar isteri, penyanyi bertaraf antarabangsa, Najwa Mahiaddin mengakui kehidupannya kini tidak mengalami perubahan yang begitu ketara.
Perasaan itu didorong dengan keadaannya kini yang bekerja dalam bidang sama dengan suaminya, Idris Koh Heng Hui, ditambah masih menetap di rumah keluarganya.
Biarpun bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri, namun pelantun lagu Got To Go itu mengakui tidak mempunyai masalah besar dalam membahagikan masa demi memenuhi tuntutan kerjanya. Lebih bertuah, suaminya juga adalah seorang pemuzik dan ahli kumpulan Bassment Syndicate, sekali gus pemilik Le Koof Music.
"Hidup saya masih lagi sama. Lagipun, suami saya juga terlibat dalam industri muzik yang sama. Masing-masing memahami. Kadang-kadang, saya banyak berkolaborasi dengannya sewaktu mengadakan persembahan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka
Puasa bersama Sony Music Malaysia, baru-baru ini.
Tambah artis berusia 28 tahun itu lagi, suaminya adalah pendorong utama dan penyokong kuat kepadanya.
"Saya seronok apabila suami berada selalu di sisi. Sebab dia penyokong utama saya.
"Contohnya, jika saya rasa gementar sebelum buat persembahan, dia akan tenangkan saya dan beri semangat.
"Apabila dia ada, saya rasa lebih bersemangat untuk membuat kerja sekali gus mencuba untuk memberikan yang terbaik," katanya yang selamat mendirikan rumah tangga pada 26 Mac lalu selepas tujuh tahun berkenalan dan menyulam cinta.
Lebih bermakna, penyanyi lagu How Long Must I Wait itu teruja menyambut ketibaan Ramadan di samping suami tersayang.
"Ya, walaupun kami baru berkahwin tetapi suami saya sudah pun mula berpuasa sejak lima tahun lalu. Jadi, dari mula saya kenal dia, dia memang dah mula belajar berpuasa.
"Sebelum berkahwin lagi, dia sudah mula mendalami agama Islam, jadi kehadiran saya adalah lebih kepada membantu dan membimbingnya. Sebab banyak perkara yang dia sudah tahu.
"Lagipun, dia memeluk Islam bukanlah atas niat mahu berkahwin semata-mata tetapi kerana minatnya pada agama Islam itu sendiri," katanya.
Kali ini, kata Najwa, pengalaman berpuasa lebih manis kerana melibatkan penyertaan daripada kaum keluarganya, sekali gus memberikan sejarah paling bermakna buat suaminya itu.
"Tahun ini, lebih kepada pengalamannya secara rasmi lebih-lebih lagi sejak bergelar suami. Dia agak seronok menjalani ibadah puasa sementelah lagi dikelilingi oleh keluarga.
"Kami bersahur dan berbuka bersama-sama. Alhamdulillah, suami seorang yang senang dan tidak cerewet. Makan saja apa yang dihidangkan.
"Itu eksperimen pertamanya dengan keluarga saya sekali gus memberi pengalaman baharu buatnya," katanya yang bakal pulang ke Muar bagi menyambut lebaran nanti.
Siri jelajah negara
Selepas sekian lama menyepi, anak perempuan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ini berhasrat untuk merancakkan kembali perjalanan karier seninya.
"Ya, sudah pasti saya ada pelbagai rancangan untuk dilaksanakan. Saya ada merancang untuk melaksanakan siri jelajah dalam mempromosikan album Aurora.
"Mungkin ia bukan konsert yang bersifat besar-besaran tetapi ia lebih kepada perjumpaan dengan peminat. Ia satu rancangan istimewa daripada saya buat peminat setia saya.
"Pada masa sama, saya juga baru saja melancarkan video klip bagi lagu Seri Mersing," katanya.
Bagaimanapun, bagi merealisasikannya, pihaknya kini masih lagi mencari penaja selain lokasi bersesuaian.
Dalam perkembangan lain, pemenang Artis Baru Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM-18) ini baru saja pulang dari Singapura kerana terlibat dalam menjayakan persembahan penutup di temasya Sukan SEA ke-28, baru-baru ini.
"Bukan saya saja yang terlibat tetapi ia turut disertai oleh penyanyi berbakat besar, Loque.
"Malah, kami persembahkan lagu ciptaan Loque yang berjudul Lahirnya Lagenda berkonsepkan Nusantara.
"Alhamdulillah, setelah berhempas pulas, akhirnya semua berjalan lancar.
"Saya terharu kerana diberi kesempatan mewakili Malaysia dalam menjayakan persembahan tersebut, apatah lagi negara kita bakal menjadi tuan rumah untuk temasya berkenaan dalam tempoh dua tahun lagi," katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment