Danial Al-Rashid
SHAH ALAM - “Arwah suka ikan terubuk bakar,” itu jawapan pertama yang keluar daripada mulut anak pelawak tanah air, Allahyarham Harun Salim Bachik, Danial Al-Rashid ketika ditanya makanan kegemaran bapanya ketika berbuka puasa.
Ketika ditanya lagi tentang kenangan Ramadan dia bersama Allahyarham, Danial berkata, beliau sempat berbuka puasa bersama–sama bapanya beberapa kali dan lazimnya suasana berlangsung dengan harmoni dan ceria.
“Kami berbuka seperti biasa. Cuma dua tiga minggu sebelum arwah pergi dia banyak sangat bercakap, satu sikap arwah ini dia tidak banyak bercakap kalau orang biasa berjumpa dengan dia akan kata dia pendiam.
“...tetapi sebelum meninggal dunia arwah banyak bercakap,” ujar Danial kepada Sinar Online.
Danial yang juga merupakan anak kedua Allahyarham turut menambah, satu perkara yang begitu membuatkannya teringat akan bapanya ialah mengenai sikapnya yang sukar menolak permintaan orang lain sekiranya mereka berdepan dengan masalah.
“Contohnya katalah saya tiada duit, dia tidak pernah cakap yang dia tidak ada duit, dia akan beri, begitu juga sekiranya kawan-kawan yang lain meminta pertolongan daripadanya,” katanya.
Sementara ketika ditanya mengenai penglibatannya dalam Pas, Danial berkata arwah tidak kisah akan ‘pegangan’ yang diambil olehnya itu.
“Arwah tahu saya aktif dengan Pas dan dia tidak ada masalah dengan itu, kami selalu berbincang tentang perihal perkembangan politik semasa,” katanya.
Harun Salim Bachik atau nama sebanarnya Harun Amina Rashid, 55, meninggal dunia selepas rebah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol di Bukit Merah, Perak, pada bulan Mac yang lalu. Al-Fatihah.
- Sumber: Sinar harian
No comments:
Post a Comment