Wednesday, 24 June 2015

Pemandu bas pakai stoking ketika memandu dikritik

Aksi yang berjaya dirakam

HANOI - VIETNAM. Seorang pemandu bas dirakam melakukan aksi berbahaya dengan memandu sebuah bas sambil memakai stoking dan menyarung kasutnya.

Lelaki yang tidak dikenali dirakam memandu bas yang membawa 40 penumpang dalam perjalanan dari wilayah tengah Binh Dinh ke wilayah Ba Ria Vung di Vietnam.

Perbuatan pemandu itu dirakam oleh salah seorang daripada penumpang dan video rakaman aksi berbahaya lelaki tersebut mula tersebar selepas disiarkan stesen televisyen tempatan.

Dalam rakaman video yang berdurasi 1.07 minit itu menunjukkan seorang lelaki memakai stoking dan kemudian menyarungkan kasut dan mengikat tali kasut semasa sedang memandu sebuah bas.

Penumpang yang merekodkan kejadian itu berkata, pemandu tersebut tidak menyedari bahawa perbuatannya itu disedari oleh penumpang yang berada di dalam bas berkenaan.

"Apabila bas tiba di destinasi terakhir, pemandu tersebut memainkan muzik dan kemudian terus menyarungkan stokin dan kasutnya.

"Pemandu itu tidak melihat jalan raya dihadapannya dan hanya sesekali memegang stereng kenderaan itu," katanya dipetik Mirror.uk

Rata-rata pengguna media sosial mengutuk tindakan tidak berhemah pemandu terbabit walaupun bas berkenaan tiba ke destinasi dengan selamat.

"Lesen pemandu tersebut perlu ditarik balik kerana memandu dalam keadaan berbahaya," kata salah seorang pengguna.

Pemandu tersebut kini dicari oleh pihak berkuasa selepas satu salinan video berkenaan diserahkan kepada pihak polis

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment