TUN M: 1MDB: 'Saya tak gasak Najib, saya cuma dedah benda yang tak kena' - Gambar fail
SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohammad menegaskan, dia tidak pernah menggasak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam apa juga isu terutama melibatkan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seandainya semuanya berjalan dengan betul dan tanpa kontroversi.
Kata bekas perdana menteri itu, apa yang dilakukan selama ini adalah mendedahkan perkara yang dirasakan salah selain melibatkan kepentingan negara.
"Saya bukan gasak, saya dedahkan benda yang tidak kena. Benda yang 'kena' saya tak pernah mengadu. Saya sokong dia dahulu sampai dia menang walaupun kecil (undi).
"Sekarang ini saya dedahkan perkara yang tidak baik dan dilakukan Najib. Tak apalah jika dia hendak selesaikan isu 1MDB, pada masa ini biar saya teruskan cerita mengenainya," katanya kepada media selepas majlis perjanjian dalam memorandum persefahaman (MoU) antara PROTON Holdings Berhad (PROTON), DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) dan Suzuki Motor Corporation, Japan (Suzuki) di sini, hari ini.
Selain MoU, ketiga-tiga pihak itu turut menandatangani persetujuan lesen untuk kerjasama jangka panjang dan strategik bersama.
“Benda yang 'kena' saya tak pernah mengadu ” - Dr Mahathir
Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Harith Abdullah dan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif Suzuki, Osamu Suzuki.
Dr Mahathir mengulas pertemuan Najib dengan lebih 1,200 perwakilan dari pelbagai pertubuhan yang dijemput khas dalam majlis Majlis Penerangan Perdana (MPP) UMNO yang diadakan pada Ahad di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Antara yang disentuh Perdana Menteri dalam majlis itu adalah isu hutang 1MDB dan kemelut melibatkan Dr Mahathir.
Dalam pada itu, Dr Mahathir melahirkan keyakinan isu 1MDB tidak akan selesai walaupun pelbagai ulasan serta usaha membetulkannya dibuat Najib.
"Saya tidak yakin selesai, duit sudah tidak ada," katanya ringkas.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai tuduhan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan kepadanya yang dikatakan punca kejatuhan nilai ringgit, ini katanya;
"Tidak apa dia (Ahmad) hendak kata apa pun, biarlah dia kata."
Pada Isnin, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan meminta Najib segera membuat pertemuan dengan Dr Mahathir sekali gus menyelesaikan kemelut negara terutama tentang isu 1MDB.
Tegas Khairuddin, Najib juga diharap tidak menjadi jaguh dengan menyerang Dr Mahathir melalui forum tertutup bersama ahli UMNO yang dijemput pada majlis penerangan khas sahaja.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment