Monday, 15 June 2015

Suri rumah miliki darah istimewa

Penerima Anugerah Penderma Cemerlang kategori Penderma Indian B ,Tatchana (kiri) bersama Gayathri pada Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Perak 2015, semalam.

IPOH - Seorang suri rumah dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Penderma Cemerlang kategori Penderma Indian B pada Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Perak 2015 di sini, semalam.

S Tatchana, 28, berasal dari Ipoh merupakan seorang daripada dua individu di negara ini yang memiliki darah jenis Indian B iaitu sejenis darah yang jarang ditemui bukan sahaja di Malaysia malah di negara lain.

Menurutnya, darah itu dikesan sewaktu dia melahirkan anak pertama di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), tahun lalu.

“Saya tidak sangka mempunyai jenis darah istimewa yang jarang ditemui di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, doktor yang menguruskan kes suri rumah terbabit, Dr J Gayathri berkata, selain Tatchana terdapat seorang lagi wanita yang dikesan mempunyai jenis darah sama di Kuala Lumpur.

Katanya, darah wanita itu sangat istimewa dan telah digunakan sebagai serum untuk mengenal pasti jika terdapat individu lain di negara ini yang mempunyai jenis darah tersebut.

“Individu yang memiliki darah ini hanya boleh menerima darah yang sama sahaja,” jelasnya.

Beliau memberitahu, pihaknya mengesan perkara itu ketika Tatchana hendak melahirkan anak pada tahun lalu kerana mereka tidak dapat mencari darah sesuai untuknya.

“Berikutan itu, sampel darah Tatchana dihantar ke Australia dan Pusat Darah Negara untuk menjalani beberapa ujian dan kita mendapati dia adalah pemilik darah jenis Indian B.

“Setakat ini, dia (Tatchana) telah dua kali menderma darah pertama kali pada tahun 2014 dan terbaru pada Februari baru-baru ini.

“Malah darahnya telah dibekukan serta mampu bertahan sehingga 10 tahun untuk digunakan pada masa akan datang,” katanya.

Gayathri berkata, pihaknya sentiasa memantau wanita terbabit dari semasa ke semasa supaya kesihatannya berada dalam keadaan baik.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment