Friday 15 May 2015

Bukan jurutera profesional hanya guna Engr


Gambar hiasan

SHAH ALAM - Penggunaan gelaran Engr. hanya digunakan untuk ahli siswazah dan ahli korporat yang bukan jurutera profesional.

Setiausaha Kehormat Institusi Jurutera Malaysia (IEM) , Ir Yam Teong Sian berkata, ia bertujuan untuk memberikan perbezaan yang jelas antara gelaran Ir untuk jurutera profesional dengan Engr untuk ahli IEM yang bukan jurutera profesional.

Jelasnya lagi, gelaran Engr mesti digunapakai bersama dengan FIEM, MIEM atau Grad IEM, di mana yang berkaitan, pada penghujung nama ahli.

“Pada awal tahun 1970’an pihak IEM memperkenalkan gelaran Ir untuk digunakan oleh semua ahli siswazah dan ahli korporat IEM. Namun pada tahun 1987, Akta Jurutera telah dipinda dan memperuntukkan bahawa gelaran Ir hanya boleh digunakan oleh jurutera profesional yang berdaftar sahaja.

“Mulai dari tahun 2006, gelaran Engr diperkenalkan untuk digunapakai ahli siswazah dan ahli korporat IEM. Gelaran ini bertujuan bukan sahaja untuk memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada para jurutera tetapi juga bagi menggalakkan penyertaan generasi muda dalam bidang kejuruteraan,” katanya menerusi sebuah kenyataan hari ini.

Teong Sian dalam pada itu menambah bahawa penggunaan Engr tidak akan menggambarkan yang seseorang itu adalah jurutera profesional.

“Dengan menggunakan gelaran Engr, golongan Jurutera Siswazah IEM akan berasa lebih berkeyakinan dan bangga dengan ijazah mereka yang telah mendapat penilaian dan pengiktirafan IEM berdasarkan akreditasi Washington Accord.

“Penggunaan gelaran Engr juga tidak akan menimbulkan sebarang kekeliruan kepada pihak berkuasa kerana sebarang pelan yang dikemukakan untuk kelulusan pihak berkuasa dimestikan mempunyai cop Ir Jurutera Profesional (P Eng) seperti yang disyaratkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia,” katanya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment