Friday 1 May 2015

Pasar raya terkenal didakwa angkara kacang bendi


SHAH ALAM - Sebuah pasar raya terkenal bakal menjadi premis pertama dihadapkan ke mahkamah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana menaikkan harga kacang bendi melebihi 50 peratus, empat bulan lepas.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata pasar raya yang terletak di Bangi itu akan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 14(1) akta berkenaan.

Tambah beliau, pihaknya mengesan kenaikan harga sayur tersebut hasil aduan orang ramai dan mendapati pemilik pasar raya itu telah menaikkan harga sayur berkenaan pada sekitar Januari lepas.

Beliau berkata dakwaan tersebut dibuat hasil pemeriksaan lanjut yang menunjukkan harga sayur berkenaan telah dinaikkan daripada RM12 sekilogram iaitu harga pasaran yang ditetapkan kepada RM18.60.

"Pemilik pasar raya tersebut akan didakwa pada Selasa ini kerana mengaut keuntungan sebanyak RM6.60 iaitu melebihi margin sepatutnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, jika sabit kesalahan pemilik premis boleh didenda mengikut Seksyen 18(a) akta sama iaitu didenda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama atau tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan kedua. 

- Sumber:  Bernama

No comments:

Post a Comment