Friday 1 May 2015

Seribu sertai perarakan #KitaLawanGST 1 Mei


Perarakan adalah anjuran Jawatankuasa Mei 1 -Foto Astro AWANI/Shahir Omar

KUALA LUMPUR: Seramai kira-kira 1,000 peserta hari ini berhimpun di Pasar Seni bagi mendesak kerajaan membatalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Kumpulan dari NGO Jawatankuasa Mei 1 itu merupakan sebahagian dari himpunan #KitaLawanGST dari pelbagai lokasi berlainan yang berarak menuju ke KLCC.

Agenda himpunan tersebut turut menyaksikan pembacaan 'Deklarasi 1 Mei' yang menuntut 10 perkara dari kerajaan.

Deklarasi yang dibacakan pengerusi LENSA, Syukri Razak, antaranya menuntut supaya GST dibatalkan, rundingan TPPA dihentikan, gaji minima dikaji semula, hak kesatuan pekerja diperkasakan, hak pekerja wanita ditegakkan, hak pekerja migran tidak dieksploitasikan, penswastaan pekhidmatan asas seperti air dihentikan, kebebasan media ditegakkan, harga barang dikawal dan AUKU dimansuhkan.

Kumpulan tersebut kemudiannya berarak dari Pasar Seni ke KLCC dan tiba pada kira-kira jam 4.10 petang untuk bertemu dengan peserta himpunan yang lain.

Turut hadir bersama kumpulan Jawatankuasa Mei 1 itu ialah Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvam, Datuk S Ambiga, aktivis ABU Haris Ibrahim dan wakil-wakil pelajar, pekerja serta NGO.

Perhimpunan turut dikawal ketat oleh anggota polis.

Selain itu perhimpunan turut dipantau oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Majlis Peguam Negara.

Salah seorang peserta perarakan #KitaLawanGST menggunakan topeng - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

Perhimpunan turut disertai oleh Himpunan Hijau, Bersih, Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), kumpulan-kumpulan Sivil, anak muda, pelajar dan mahasiswa, komuniti orang asal, peneroka bandar dan pekerja ladang.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment