Saturday 17 January 2015

Baju kurung: Tiada salah faham, kata pak cik pelajar

Permintaan pihak sekolah supaya memakai kesemua butang baju kurung adalah bagi menjaga aurat pelajar sekali gus menjaga keselamatan pelajar itu sendiri. 

MKUALA LUMPUR: "Saya boleh faham tetapi tidak boleh terima."

Itu adalah kenyataan yang dibuat oleh Lawrence Jayaraj, pak cik kepada Britney Nicole, pelajar 15 tahun dari SMK Seri Mutiara di Cheras, yang di hantar balik ke rumah kerana memakai baju kurung di sekolah.

Menepis kata-kata pengetua sekolah itu, Mohd Amir Abdul Ghani, yang sebelum ini berkata perkara itu berlaku kerana masalah komunikasi dan salah tafsir, Lawrence berkata itu tidak benar.

"Tiada salah faham. Sebenarnya sejak tahun 2009, polisi sekolah itu adalah tidak membenarkan pelajar bukan Melayu memakai baju kurung dan saya faham mengapa kerana mereka telah menjelaskannya," kata Lawrence kepadaAstro AWANI.

Lawrence berkata beliau telah diberitahu oleh pengetua sekolah yang mempunyai lebih ramai pelajar bukan Melayu daripada pelajar Melayu, tentang polisi itu.

Beliau turut berkata larangan pemakaian baju kurung untuk pelajar bukan Melayu adalah kerana ia 'lebih menonjol' daripada 'pinafore' atau pakaian seragam sekolah.

"Kerana nak senang, salah seorang guru sekolah itu yang menjaga hal ehwal murid membuat keputusan bahawa pelajar bukan Melayu hanya boleh memakai pakaian seragam dan bukannya baju kurung.

"Saya juga meminta masa sampai hujung bulan untuk membeli pakaian seragam itu apabila gaji saya masuk, tetapi salah seorang daripada guru tersebut menyuruh saya minta bantuan duit BR1M,"katanya.

Lawrence berkata Britney telah memakai baju kurung ke sekolah sejak umurnya 12 tahun lagi dan selalu mengenakan butang baju.

Sementara itu, Mohd Amir yang dihubungi oleh Astro AWANI enggan memberikan apa-apa komen dan hanya berkata sekolah itu telah memberikan laporan penuh mengenai kejadian itu kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, ia dilaporkan bahawa Mohd Amir Abdul Ghani berkata pihak sekolah tidak pernah menghalang pelajar perempuan bukan Melayu untuk memakai baju kurung, cuma menekankan supaya memakai baju kurung dengan cara yang betul.

“Kalau hendak pakai baju kurung, pelajar mestilah memakai dengan betul iaitu memakai kesemua butang baju tersebut. Apabila kata begini, mereka anggap kita (sekolah) tidak benarkan pakai baju kurung.

“Sekolah tidak pernah menghalang sesiapa pakai baju kurung kerana ia adalah baju kebangsaan. Malah guru-guru bukan Melayu pun boleh pakai baju kurung,” katanya yang dipetik Bernama.

Mohd Amir berkata permintaan pihak sekolah supaya memakai kesemua butang baju kurung adalah bagi menjaga aurat pelajar sekali gus menjaga keselamatan pelajar itu sendiri.

Ekoran kejadian itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin, semasa mengulas perkara itu berkata Kementerian Pendidikan tidak pernah mengeluarkan arahan melarang pelajar perempuan bukan beragama Islam memakai baju kurung ke sekolah kerana pemakaian tersebut sejajar dengan dasar kementerian dalam soal pemupukan perpaduan. 

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment