Saturday 17 January 2015

Pengguna gajet Samsung bakal merasai revolusi rekaan produk

Jabatan rekaan Samsung bakal mendapat nafas baharu dengan pelantikan Lee Don-tae. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persaingan sengit dalam pasaran memerlukan Samsung segera mengubah rekaan produk-produk popularnya dan perkara itu semakin jelas apabila syarikat tersebut melantik seorang pereka berpengalaman yang mampu lari daripada gaya konvensional.

Portal Korea Joong Ang Daily melaporkan, syarikat gergasi tersebut sekali lagi mahu merevolusi pendekatannya dalam bidang rekaan dengan melantik Lee Don-tae, iaitu presiden bersama Tangerine, sebuah firma perunding rekaan global.

Awal bulan ini, Samsung telahpun melantik tokoh berusia 47 tahun yang berasal dari Gangwon itu untuk mengetuai pasukan rekaan globalnya.

Lee yang merupakan seorang profesor di jabatan rekaan industri Universiti Hongik menyertai Tangerine sebagai pelatih pada tahun 1998 dan kemudian menjadi presiden selepas tujuh tahun berkhidmat di situ.

Tangerine yang berpangkalan di London diasaskan oleh Jonathan Ive yang juga timbalan presiden kanan bahagian rekaan di Apple yang bertanggungjawab dalam projek rekaan iPhone, iPad dan IOS7.

Samsung mengharapkan Lee untuk menyerapkan DNA rekaan Tangerine ke dalam produk-produknya sama seperti yang dilakukan Ive kepada Apple.

Pemerhati industri kini memantau dekat pelantikan Lee oleh Samsung kerana dia bukan sekadar dikenali sebagai pereka malah seorang ‘usahawan rekaan’.

Lee yang memegang sarjana daripada Royal College of Art di London sangat dikagumi kerana kejayaannya mereka semula kabin kelas bisnes bagi pesawat Bristish Airways.

Mengenai rekaan yang mendapat pelbagai pengiktirafan tersebut, Lee telah mengubah susun atur kerusi dalam bentuk ‘S’ bagi memaksimumkan penggunaan ruang dan membolehkan tempat duduk itu dibaringkan menjadi katil.

- Sumber: Agensi

No comments:

Post a Comment