Friday 20 November 2015

Rosyam tidak serik dengan Azma, Ika Nabila

PENGARAH Drama Dawai Asmara, Muhamad Ismaizal Yusoof (kiri) dan Penerbit Suhan Movies, Datuk Rosyam Nor pada Sidang Media Salah Laku di set penggambaran drama Dawai Asmara, di Suhan Movies Jalan Setiawangsa, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Pengarah dan penerbit, Datuk Rosyam Nor tidak serik untuk bekerjasama dengan Azma Aizal Yusoof dan Ika Nabila di bawah produksi miliknya, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd.

Rosyam selaku penerbit drama bersiri Dawai Asmara menjelaskan beliau bersikap profesional dan tidak menganggap insiden Azma mengasari Ika ketika berada di set penggambaran itu menjadi faktor mereka disenarai hitam.

"Bakat mengarah yang dimiliki oleh Azma berbeza dengan sutradara lain kerana dia mempunyai kreativiti daripada aspek berlainan. Namun saya tidak kata pengarah lain tidak berbakat untuk berkarya sebaliknya meminati hasil kerja Azma.

"Saya anggap insiden yang berlaku sebagai ujian dan perkara biasa yang dihadapi oleh setiap produksi. Ada hikmah di sebalik perkara yang berlaku ini. Ia bukan saja mematangkan saya, Ika dan Azma sebaliknya semua warga produksi turut mendapat pengajaran," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Rosyam berang apabila ada pihak mendakwa beliau kurang peka dengan insiden yang berlaku di lokasi berkenaan. 

Sebagai penerbit, beliau perlu mempertimbangkan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan. 

Rosyam tidak mahu mengambil tindakan melulu yang akan memberikan impak negatif terhadap Azma yang mempunyai penyakit 'Bipolar Disorder', sejenis penyakit mental yang menyebabkan perubahan perasaan atau mood melampau dan tidak normal di dalam diri seseorang.

"Saya tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan drastik menghalau Azma dari set penggambaran kerana pendekatan yang dia gunakan sebagai pengarah. Banyak aspek perlu diambil kira sebelum mengambil sebarang keputusan.

"Sebagai penerbit, saya tidak boleh bersikap berat sebelah sebaliknya memahami situasi setiap pihak. Pendekatan berbeza perlu digunakan kerana saya maklum dengan penyakit yang dihadapi oleh Azma. 

"Bagi saya keadaan Azma lebih kritikal kerana dia berperang dengan emosi sebagai pesakit Bipolar Disorder. Saya tidak mahu tersilap langkah dan tindakan saya itu membuatkan Azma melakukan perkara buruk terhadap dirinya sendiri," katanya.

Tambah Rosyam, penggambaran drama Dawai Asmara tetap diteruskan kerana membabitkan jadual barisan pelakon drama itu. Beliau turut memuji tindakan Azma mengundurkan diri sebagai pengarah setelah didenda mahkamah pada 13 November kerana mengasari Ika. 

Tambah Rosyam, biarpun Azma komited dengan tugasnya sebagai sutradara drama bersiri itu namun beliau menarik diri kerana bertanggungjawab dengan apa yang berlaku. 

Rosyam turut memahami situasi Ika yang trauma kerana insiden itu dan memilih untuk menarik diri. Watak Ika digantikan dengan Puteri Najwa.

- Sumber: BH Online 

No comments:

Post a Comment