Friday 20 November 2015

Juruterbang cedera, pesawat jatuh di padang golf

Keadaan pesawat ringan yang terhempas di Padang Golf Palm Villa Senai, semalam.

JOHOR BAHRU - Seorang juruterbang sebuah pesawat ringan cedera ketika melakukan pendaratan kecemasan di Padang Golf Palm Villa Senai, hari ini.

Pesawat ringan jenis Piper Warior PA 28 dipercayai terhempas ketika melakukan pendaratan kecemasan di kawasan berkenaan kira-kira jam 1 petang.

Pemangku Ketua Polis Negeri, Datuk Ramli Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 1.06 petang sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan seorang juruterbang pesawat berkenaan yang merupakan seorang warga Singapura cedera di beberapa bahagian anggota badan.

“Laporan awal kita terima, mangsa yang merupakan juruterbang pesawat ringan berkenaan adalah warganegara, Singapura.

“Mangsa sudah dikejarkan ke Hospital Kulai untuk rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan,” katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan, seorang buruh binaan, Zainudin Sahawi, 45, berkata, dia ternampak pesawat berkenaan terbang rendah sebelum mendarat cemas di kelab golf tersebut.

"Bunyi dentumannya sangat kuat sehinggakan saya terkejut. Saya kemudian melihat juruterbang pelatih itu keluar dari pesawat berkenaan dalam keadaan berdarah," katanya yang sedang melakukan kerja pengubahsuaian rumah berhampiran lokasi kejadian.

Zainudin berkata, dia menghulurkan kertas tisu kepada juruterbang pelatih itu dan membawanya berteduh di tepi rumah berkenaan berikutan hujan.

Katanya, juruterbang itu dilihat ada membuat panggilan telefon bagi memaklumkan kejadian berkenaan sebelum sepasukan polis tiba di situ tidak lama kemudian.

- Sumber: Sinar Harian | 20 November 2015

No comments:

Post a Comment