Monday 10 August 2015

'Nak buat macam mana orang dah tak suka saya'

Muhyiddin Yassin

PETALING JAYA - Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau terlibat dalam komplot untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, segala pandangan dan teguran yang diutarakan hanyalah untuk kebaikan parti dan bukan menjatuhkan sesiapa.

“Ada saya dengar cakap-cakap menyatakan saya tidak disenaraikan dalam Kabinet adalah kerana saya nak menjatuhkan perdana menteri.

“Saya dituduh bersekongkol dengan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng. Perkara itu sudah dinafikan oleh mereka. Jadi saya tidak perlu nafikan lagi.

“Pada hakikatnya, saya hanya menegur mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilihat amat kritikal dan sehingga sekarang masih belum dapat diselesaikan.

Tetapi nak buat macam mana, orang dah tak suka saya,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, semalam.

Beliau berkata, masyarakat dan ahli Umno sudah memahami perjuangan yang ingin dibawanya.

“Ada orang kata saya pengkhianat. Ini bukan mengkhianat. Saya tegur supaya nak perbetulkan apa yang salah.

“Saya tidak mahu parti Umno yang saya sayang ini jatuh,” katanya yang turut mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada perwakilan yang hadir.

Dalam pada itu, beliau mengulangi pendirian bahawa BN akan kalah pada pada PRU14 sekiranya tidak menyelesaikan isu 1MDB dengan segera.

“Dalam dewan ini, semua orang setuju bahawa graf BN sedang menurun, tiada siapa yang boleh menafikan. Kerana itu saya menegur agar teguran tersebut dapat merubah daripada yang tidak baik kepada yang baik,” katanya.

Muhyiddin tetap bertegas bahawa beliau tidak akan berhenti bercakap dan menegur atas kapasiti timbalan presiden Umno demi untuk parti.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment